Rosmah ulang kepentingan dapat dana bagi program pembangunan belia


Diyana Ibrahim

ISTERI Perdana Menteri Rosmah Mansor hari ini mengulangi kepentingan untuk mendapatkan peruntukan yang lebih dalam program pembangunan belia.

Sebagai contoh, Program Perkasa iaitu satu lagi usaha beliau bagi pembangunan belia selain Program Permata dapat diperluaskan di negeri lain selain daripada Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan meluaskan program tersebut ke negeri lain tidak mudah kerana terdapat kekangan seperti masalah mencari tempat, sukarelawan dan kekurangan dana.

“Kadang-kadang kita ada kekangan tak cukup sokongan tak cukup duit itu mustahak juga,” katanya semasa menghadiri program Sembang Santai Hari Belia Permata Perkasa 2017 di Kompleks Komuniti Muhibbah PPR Kg Muhibbah.

Beliau turut menafikan permintaan dana adalah untuk dirinya sepertimana yang didakwa pembangkang sebelum ini.

“Jangan nanti Teresa Kok (dengar) kata saya minta duit pulak. Saya tak pernah minta duit, kalau kita nak buat apa pun kita kena ada duit kalau tidak ada duit macam mana, kan?

“Karang nak beli tepung nak buat kuih tapi takde duit jugak, jadi kena ada duit lah.”

Sebelum ini beliau pernah menyatakan perkara sama mengharapkan kerajaan dapat memberi lebih banyak dana untuk program Permata Negara.

“Duit itu saya tak pegang, satu sen pun saya tak nampak, tak jaga. Bukan saya yang buat ‘planning’ tapi sekretariat,” katanya yang menjawab tuduhan itu.

Kenyataannya tentang permintaan dana lebih banyak bagi programnya mendapat kecaman oleh ahli Parlimen pembangkang termasuk ahli Parlimen Seputeh yang mempersoalkan perkara itu semasa Sidang Dewan Rakyat minggu lalu.

Program Permata Negara merupakan cetusan idea daripada beliau yang ditubuhkan pada 2006 bertujuan menyediakan program pendidikan khusus pembangunan intelek dan fizikal kanak-kanak dibawah umur 4 tahun.

Sementara itu ketika ditanya tentang kecaman ahli pembangkang oleh wartawan beliau menjawab; “Suka hati mereka nak kata apa pun yang penting kita buat kerja kita saja.” katanya sambil tersenyum. – 12 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen