SABAH tidak perlu mengikuti cadangan kerajaan Persekutuan untuk menghadkan tempoh perkhidmatan menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal, kata Mohd Shafie Apdal.
Ketua menteri Sabah itu berkata semakan dengan undang-undang negeri perlu dibuat terlebih dahulu sebelum mengikuti cadangan tersebut.
“Saya tidak keberatan, tetapi kita kena tengok perkara ini dahulu dan lihat sama ada ia tidak bertentangan dengan perlembagaan negeri.
“Sudah tentu kita boleh ikut beberapa cadangan kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) dan walaupun kita bekerjasama rapat, Parti Warisan Sabah bukan sebahagian daripada PH,” beliau memberitahu pemberitah di Kota Kinabalu hari ini.
Ketua Menteri Sarawak juga senada dengan Shafie, berkata Sarawak bersifat autonomi dan pindaan terhadap Perlembagaan perlu dilakukan jika mahu mengikuti cadangan itu.
Apabila ditanya mengenai kegagalan Warisan dalam lima petisyen pilihan raya, Shafie berkata parti itu bercadang akan membuat rayuan.
Sebahagian daripada petisyen parti itu katanya, ditolak atas sebab teknikal, bukan kerana kegagalan membuktikan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh perti yang dinamakan dalam petisyen.
“Kalau mahkamah tolak haya berdasarkan penyerahan tiga salinan petisyen, kita perlu lihat bahagian kandungan.
“Ini adalah pengetahuan umum dan saya boleh minta lihat semula,” katanya.
Warisan sebelum ini memfailkan petisyen mencabar keputusan bagi kerusi Kundasang, Sipitang, Sook, Sungai Sibuga dan Libaran. – 23 Oktober, 2018.
Komen