SABAH bersetuju untuk menetapkan had umur minimum perkahwinan di negeri itu kepada 18 tahun, namun akan membenarkan beberapa “kelonggaran”, kata Ketua Menteri Shafie Apdal hari ini.
Beliau berkata kabinet negeri bersetuju dengan had umur, tetapi masih mahu membenarkan perkahwinan pada usia 16 tahun dengan cabaran dari mahkamah.
“Kami bincangkan perkara ini pada mesyuarat (terbaru) Menteri Besar dan Ketua Menteri dan kami memutuskan Sabah boleh bersetuju dengannya (had umur perkahwinan minimum 18 tahun).
“Terdapat beberapa perkara, bagaimanapun, sebagaimana yang saya sebut, yang kita perlu benarkan mereka yang mahu berkahwin pada umur 16 tahun di kawasan luar bandar, tetapi (mereka) perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah syariah dan mahkamah sivil,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.
Perkahwinan kanak-kanak di Sabah merupakan antara tertinggi di negara ini dan tidak terhad kepada mana-mana kaum. Dalam kebanyakan kes, hamil dan kemiskinan menjadi punca utama.
Pada September, mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar mencetuskan kemarahan apabila menyatakan had umur perkahwinan di negeri itu sepatutnya 14 tahun untuk perempuan dan 16 tahun untuk lelaki.
Beliau kemudian berkata, beliau merujuk kepada kes khas melibatkan kemiskinan dan belia di kawasan luar bandar yang tidak mampu meneruskan pelajaran mereka.
Sabah kini bersama dengan Pulau Pinang dan Johor yang bersetuju untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kedua-dua lelaki dan perempuan di negeri itu, tanpa mengira agama.
Setakat ini, hanya Selangor yang membuat pemindaan legislatif untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.
Hampir kesemua menteri besar dan ketua menteri diberi taklimat berhubung sebab menaikkan had umur minimum perkahwinan pada mesyuarat dengan perdana menteri minggu lalu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan mengarahkan semua negeri untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun, kerana ia di bawah bidang kuasa negeri.
Perdebatan berhubung perkahwinan kanak-kanak timbul susulan daripada perkahwinan lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan pada Jun. – 23 Oktober, 2018
Komen