Najib berdepan siasatan SPRM berhubung urusan 1MDB-IPIC 


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Najib Razak sudah berdepan 32 pertuduhan pengubahan wang haram, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2018

BEKAS perdana menteri Najib Razak akan dipanggil sekali lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok bersama bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.

Sumber mengesahkan kepada The Malaysian Insight yang kedua-dua mereka akan diambil keterangan namun enggan menjelaskan butiran lanjut.

Najib dan Irwan perlu ke ibu pejabat SPRM pada jam 2 petang esok.

Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan soal siasat itu adalah berkaitan urusan antara 1Malaysia Development Berhad dengan syarikat pelaburan Abu Dhabi, 
International Petroleum Investment Company (IPIC).

Laporan itu yang memetik sumber menyatakan bekas perdana menteri itu juga dijangka berdepan enam pertuduhan tambahan pada Khamis. 

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah turut dipanggil ke SPRM esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2018

Najib kini berdepan 32 pertuduhan pengubahan wang haram, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berkaitan RM2.28 bilion yang diterima daripada 1MDB dan RM42 juta yang diterima daripada bekas anak syarikat pelaburan negara itu, SRC International.

Bekas perdana menteri itu, yang juga merupakan pengerusi penasihat 1MDB, mengekalkan kenyataan beliau tiada sebarang peranan dalam kehilangan berbilion ringgit daripada dana pelaburan itu.

Malaysiakini berkata siasatan berhubung isu 1MDB-IPIC berkembang selepas mendapat maklumat daripada seorang individu bergelar “Datuk” yang terlibat dalam urusan itu.

Individu terbabit dilantik oleh Najib sebagai orang tengah untuk dua syarikat terbabit beberapa tahun lalu.

New Straits Times (NST) hari ini turut melaporkan transaksi IPIC dibawah pengawasan dan mungkin akan membawa kepada pertuduhan baru terhadap Najib. – 23 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen