PERINTAH reman selama lima hari yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan penahanan exco Pulau Pinang Phee Boon Poh adalah ” amat jelas di luar aturan”, kata peguamnya.
Peguam Ramkarpal Singh berkata pendaftar memutuskan perintah reman Phee tanpa pendengaran peguamnya.
“Penyerahan kami pada pagi ini hanya tertumpu kepada isu perwakilan. Kami tidak menyentuh hal reman itu. Dia memutuskan reman tanpa pengendaran kami.
“Inilah yang menjadi isu, kami berpendapat ia di luar aturan, dan ia perlu disemak oleh hakim mahkamah tinggi,” katanya kepada pemberita.
Phee ditahan atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mendapat ganjaran. Siasatan itu berkaitan surat-surat yang ditulisnya sebagai exco alam sekitar berkenaan kilang haram di Sungai Lembu di Bukit Mertajam.
Dia ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang semalam ketika memberikan keterangan.
Ramkarpal berkata beliau dan rakannya R.S.N Rayer meminta Pendaftar Ameera Mastura Khamis untuk memutuskan terdahulu berkenaan isu perwakilan.
Katanya, pendaftar kemudian menangguhkan selama 20 minit untuk membuat keputusan berkaitan perkara itu, tetapi apabila dipanggil semula ke pejabat reman, beliau dan Rayer dimaklumkan yang Phee akan ditahan selama lima hari lagi.
“Sebagaimana kami dapati perintah itu tidak teratur, kami minta supaya pendaftar membantu kami untuk memfailkan permohonan yang diperlukan untuk semakan… ada peruntukan untuk mencabar perintah itu di mahkamah tinggi sebagaimana yang dinyatakan dalam Kod Prosedur Jenayah.
“Tetapi dia menolak, mengekalkan perintah reman tersebut walaupun kami membantah. Dia tidak akan membantu kami dalam mempercepatkan hal itu, terutamanya pada hujung minggu,” katanya.
Kata Ramkarpal, mereka sendiri akan memfailkan permohonan ke mahkamah tinggi pada hari ini, jika boleh; dengan pandangan “ia bukan perintah undang-undang”.
Rayer berkata memang benar mereka tidak diberi peluang untuk membantah merit sama ada Phee akan ditahan atau tidak.
“Tetapi, pendaftar membuat keputusan tanpa mendengar kepada kami. Perintah itu tidak sah,” katanya.
Pengurus kilang haram itu, Gan Buck Hee,70; dan anak lelakinya Edmund Gan, 37 yang merupakan pengarah kilang juga ditahan reman selama lima hari.
Peguam mereka iaitu Dev Kumaraendran, V. Pathipan, Khor Chai Koan dan Teh See Khoon juga berpandangan sama seperti Ramkarpal dan Rayer.
Dev menyifatkan tahanan itu sebagai “penahanan tidak sah”, dan menambah sekiranya pendaftar membuat keputusan selepas pendengaran peguam, mereka tidak akan mencabar perintah itu.
“Dia juga tidak benarkan kami bercakap tentang kesihatan anak guam kami,” katanya.
Dev juga berkata permohonan untuk bantuan pendaftar mempercepatkan kes dan menentukan kedudukan hakim pada hujung minggu ditolak berulang kali.
“Apa yang dipersetujui dengan pegawai SPRM adalah, mereka sebenarnya ditahan secara tidak sah,” katanya.
Dev berkata mereka akan memfailkan permohonan untuk semakan semula pada Isnin, ia bermakna anak guamnya ditahan secara tidak sah hingga sekarang.
“Sekiranya apa-apa berlaku kepada mereka semasa dalam tahanan, mereka boleh saman mahkamah untuk pampasan.
“Jika kita tidak dapat menyampaikan surat kepada seorang hakim di mahkamah, kita perlu cari hakim pengelola Pulau Pinang. Pergi ke rumahnya dan hantar surat itu, dan minta dia mendengar kes esok pagi.
“Ini yang akan kita lakukan,” katanya. – 12 Ogos, 2017.
Komen