CALON presiden MCA Wee Ka Siong memberi jaminan MCA akan terus kekal dalam Barisan Nasional (BN), kata Khairy Jamaluddin.
Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata Wee mempunyai “kemungkinan tinggi” untuk menang pada pemilihan parti itu bulan depan, yang mana beliau bertanding bagi merebut jawatan nombor satu parti dalam pertandingan tiga penjuru.
“Hanya beliau Ahli Parlimen (dari MCA) dan sangat komited kepada BN.
“Saya sudah tanya Wee dan beliau kata mereka akan kekal dalam BN,” kata Khairy kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Khairy berkata parti itu akan mengatasi sebarang kelemahan yang ada dalam pakatan itu, sama ada dalam Umno atau MCA.
“Kita akan atasinya bersama tetapi jangan cakap kamu nk tinggalkan BN dan semua,” tambah Khairy.
Pada Ahad, bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek berkata MCA perlu tinggalkan BN untuk menjenamakan semula kerana ia menjadi bahan ketawa.
Beliau berkata, sekiranya beliau masih berkuasa, beliau akan mengelakkan penglibatan MCA dengan pakatan pembangkang.
Calon presiden MCA Gan Ping Sieu juga semalam berikrar akan membawa parti itu meninggalkan BN sekiranya beliau menang pada pemilihan bulan depan. – 23 Oktober, 2018
Komen