Cari Jho Low sepatutnya bukan atas kapasiti peribadi, kata Khairy


Asila Jalil

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata pencarian melibatkan kerjasama antara China - di mana Low dipercayai sedang bersembunyi - dan Malaysia, serta undang-undang antarabangsa yang berkaitan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Oktober, 2018.

USAHA mengesan ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho tidak sepatutnya dilakukan atas kapasiti peribadi kerana ia melibatkan dua negara, kata Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata pencarian melibatkan kerjasama antara China - di mana Low dipercayai sedang bersembunyi - dan Malaysia, serta undang-undang antarabangsa yang berkaitan.

“(Ia) tak sepatutnya usaha peribadi. Ia harus dilakukan antara kedua-dua negara,” beliau memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hishammuddin Hussein semalam menawarkan diri menggunakan hubungannya dengan pimpinan di China yang dikenalinya sejak menganggotai Kabinet sebelum ini untuk mengesan Jho Low.

Bekas menteri Umno itu berkata beliau akan mencari Low atas kapasitinya sendiri tanpa arahan daripada mana-mana pihak dari partinya atau Putrajaya kerana beliau sudah lama ingin tahu kebenaran tentang 1MDB.

Kenyataan Hishammuddin itu kata Khairy “menarik” dan berharap bekas menteri pertahanan itu dapat memberi maklumat mengenai Low sekiranya ada.

“Ini satu kenyataan menarik dari Hishammuddin, tetapi jika beliau ada maklumat, saya harap (beliau) boleh beri kepada kerajaan kerana itu cara terbaik untuk bawa balik (Low) yang dikehendaki untuk siasatan,” kata Khairy.

Malaysia menfailkan dakwaan jenayah melibatkan pengubahan wang haram ke atas Low dan bapanya, Low Hock Peng berhubung penyelewengan wang 1MDB.

Low sebelum ini dilaporkan berkata tidak akan menyerah diri untuk disoal siasat pihak berkuasa Malaysia dan mendakwa tidak akan mendapat keadilan kerana beliau adalah mangsa “mahkamah media”. – 23 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen