ANGGOTA tentera dilarang daripada mengundi pada pemilihan PKR, kata veteran tentera.
Pengarah Komunikasi Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Kapten (B) Wong Ang Peng berkata ia bagi memelihara tradisi tentera untuk kekal bebas dari politik dan berkhidmat kepada kerajaan semasa, anggotanya tidak boleh menyertai parti politik.
“Majlis Angkatan Tentera melarang mana-mana anggota daripada menyertai parti politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Wong mengulas berhubung laporan Malaysiakini yang mana ahli majlis pimpinan PKR Elizabeth Wong berkata beliau sudah menghantar bukti mereka yang disyaki anggota tentera mengundi pada pemilihan PKR.
Elizabeth berkata dua set dokumen, termasuk lampiran, dihantar kepada pejabat Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan salinannya dihantar kepada setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
Semalam, Elizabeth berkata, 30 orang dihalang daripada mengundi di cabang PKR Petaling Jaya Utara selepas mereka didapati membawa kad pengenalan tentera.
Veteran tentera berkata sekiranya ia didapati benar, siasatan mesti dijalankan.
“Ada segelintir yang terdesak untuk menang hingga sanggup menggunakan dokumen pengenalan tentera untuk mengundi.”
PKR kini sedang mengadakan pemilihan pimpinan cabang dan kebangsaan di seluruh negara. Pengundian, yang bermula pada 22 September akan berakhir pada 10 November. – 23 Oktober, 2018
Komen