Semakan semula ekonomi Dr Mahathir hanya lanjutan dasar BN, kata Najib 


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Najib Razak ketika keluar daripada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Oktober, 2018

BEKAS perdana menteri Najib Razak berkata dasar Pakatan Harapan dalam Semakan Semula Pertengahan Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) hanya sambungan daripada dasar ekonomi pentadbirannya.

Pada Khamis, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan enam fokus bidang baharu, atau teras, untuk membuat pelan ekonomi baru yang sah sehingga tahun 2020.

Enam teras itu mengandungi dasar untuk “menambahbaik semak dan imbang di semua peringkat”, termasuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan pejabat Pendakwaraya Awam. 

Bagaimanapun, Najib menyatakan “sokongan bersyarat” bagi semakan itu, dan berkata enam teras berkenaan adalah penghasilan semula pelan Barisan Nasional yang belum dicapai. 

“Enam teras yang disertakan mereka sudah dibuat oleh kerajaan BN. Tetapi ia tidak siap dan masih dalam proses dan memerlukan lebih banyak masa. 

“Dokumen yang dibentangkan mereka bukan baharu tetapi hanya kesinambungan apa yang kerajaan BN sudah buat,” katanya. 

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan mendakwa kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang kerajaan mampu mendapatkan semula RM10 bilion daripada pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah salah. 

“Kerajaan menyatakan jika projek ECRL batal, ia akan mendapat semula RM10 bilion. Tetapi bayaran yang dibuat oleh Exim Bank kepada China Communication Construction Company (CCC).

“Jika kita batalkan, wang berkenaan akan dikembalikan kepada Exim Bank. Jadi bagaimana kerajaan akan mendapatkan semula RM10 bilion,” soalnya ketika perbahasan berhubung  Semakan Semula Pertengahan Penggal Rancangan Malaysia ke-11 hari ini. 

Exim Bank atau Export-Import Bank of Malaysia Berhad, merupakan institusi kewangan pembangunan milik kerajaan menerusi pemilikan penuh anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan. 

Najib turut mempersoalkan bagaimana kerajaan dapat harga RM81 bilion projek ECRL sedangkan pentadbirannya hanya menandatangani hanya RM55 bilion. 

“Perlu ada asas kepada penilaian RM81 bilion mereka. Kos akan lebih tinggi sekiranya penjejakan berganda tetapi kita masih belum putuskan,” kata Najib. 

Beliau juga sekali lagi mempersoalkan dakwaan kerajaan Pakatan Harapan hutang negara mencecah RM1 trilion. 

“Laporan menyatakan hutang kerajaan adalah 50.8% daripada KDNK atau RM686 bilion pada 2017. Tiada angka RM1 trilion,” kata Najib. – 23 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen