Saya pulangkan RM2 bilion tetapi masih didakwa, kata Najib


Chan Kok Leong

Najib Razak bertegas wang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah derma daripada Arab Saudi dan bukannya milik 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Oktober, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak melahirkan rasa terkejut yang beliau didakwa walaupun sudah mengembalikan derma RM2 bilion yang merupakan sebahagian daripada wang dimasukkan ke akaun peribadinya.

“Sangat pelik apabila saya menerima RM2 bilion, saya didakwa. Dan apabila saya memulangkan RM2 bilion, saya juga didakwa. Sangat pelik orang yang memulangkan duit didakwa.

“Tidak mengapa, itu adalah kisah peribadi saya. Saya berharap ia berjalan dengan baik,” kata ahli Parlimen Pekan kepada Parlimen ketika pembahasan rang undang-undang Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 hari ini.

Najib bertegas RM2.6 bilion dalam akaun itu didermakan untuk pilihan raya 2013 selepas beliau bertemu Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

Beliau berkata wang itu kemudiannya dikembalikan semula kepada Arab Saudi.

Beliau kini menghadapi tuduhan rasuah berhubung wang yang dikatakan pihak berkuasa daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini merupakan kali kedua Najib mengambil bahagian dalam perbahasan Parlimen sejak Barisan Nasional kalah pilihan raya.

Semasa perbahasan itu, Najib membangkitkan skandal 1MDB dan berkata beliau berharap semua wang itu akan dikembalikan kepada Malaysia.

Beliau menjelaskan mahu mendapatkan semula wang itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya mahu mendapatkan semula wang 1MDB selepas pilihan raya. Itulah sebabnya kami mempunyai perjanjian penyelesaian dengan mereka (Abu Dhabi) untuk membayar kita kembali. Kita ada sehingga 2020,” kata Najib.

Najib, yang didakwa dengan 32 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa, berkata beliau berunding dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi mengekalkan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Saya menelefon putera mahkota Abu Dhabi untuk menyelesaikannya kerana ingin mengekalkan hubungan diplomatik dengan UAE.

“Kita membuat perjanjian pada 2015 untuk menerima AS$1 bilion daripada Ipic dan mereka bersetuju membayar AS$3.5 bilion kepada kita.

“Inilah yang dipanggil menukar aset untuk hutang dan kita akan mendapatkan semula AS$6 bilion. Saya harap kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskannya kerana kita mahu semua wang itu.”

Beliau berkata pentadbirannya juga berharap nilai projek Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia akan meningkat bagi membayar hutang 1MDB.

“Apabila nilai Bandar Malaysia naik, kita boleh membayar hutang 1MDB. Jangan mempolitikkan hal ini. Kita mahu semua wang itu dikembalikan kepada rakyat Malaysia,” kata Najib. – 23 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen