SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji semula langkah persempadanan semula sebelum ini untuk melihat sama ada ia mematuhi perlembagaan Persekutuan, kata pengerusi baharu dilantik Azhar Harun.
“Saya berhasrat menganalisis garis panduan sebelum ini dan melihat sama ada ia adil atau tidak, serta mematuhi Jadual Perlembagaan ke-13,” kata Azhar kepada Melisa Idris daripada BFM dalam program “Breakfast Grille” pagi ini.
Beliau berkata amalan persempadanan sebelum ini mempunyai perbezaan ketara berhubung nisbah pengundi dengan kawasan pilihan raya.
“Undang-undang memperuntukkan (bilangan pengundi di setiap kawasan) mestilah lebih kurang sama kecuali terdapat isu-isu logistik atau luar bandar.
“Kami akan keluar dengan pelan tindakan yang memperlihatkan persempadanan yang adil tanpa paksaan kepada kerajaan,” kata Azhar.
Peguam yang kini menjadi pengerusi SPR itu menyatakan ia hanya boleh menjalankan persempadanan semula sekali sahaja bagi tempoh setiap lapan tahun.
“Pengecualian dibuat jika Parlimen atau Dewan Undangan Negeri menambah atau mengurangkan bilangan kerusi.
“Ini boleh mencetuskan persempadanan semula tetapi Perlembagaan perlu dipinda,” kata Azhar.
Dalam temu bual sebelum ini, Azhar berkata terdapat percanggahan dengan pelaksanaan persempadanan yang diluluskan sebulan sebelum pilihan raya umum 9 Mei.
Katanya, terdapat salah pembahagian yang ketara antara kerusi kerana kerusi mempunyai 25,000 pengundi, manakala lain mempunyai 170,000 pengundi. – 23 Oktober, 2018.
Komen