SELEPAS tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang menyaksikan MCA hilang enam daripada tujuh kerusi Parlimen, ia akan memutuskan sama ada terus kekal dalam gabungan Barisan Nasional (BN) selepas pemilihan parti pada 3 dan 4 November.
Ia menjadi isu hangat yang dibahaskan oleh anggota parti yang menyalahkan parti utama BN, Umno kerana tindakan pemimpinnya memainkan retorik perkauman dan keagamaan, yang didakwa menjadi faktor kepada kekalahan MCA.
Ketika ahli parti yang bercakap dengan The Malaysian Insight menyatakan pandangan menentang isu keanggotaan dalam BN, mereka akui ia memerlukan kepimpinan yang kuat untuk menyelamatkan parti berusia 69 tahun itu agar ia terus relevan.
Para pemimpin akar umbi dan ahli mengatakan mereka menunggu hasil pemilihan parti dan berharap kepemimpinan baru lebih “berani” untuk bersuara dan memberikan penjelasan berhubung hala tuju parti.
Ada yang menggesa pembaharuan drastik bagi membangunkan semula parti sebagai kuasa pembangkang yang boleh dipercayai dan akhirnya memenangi keyakinan pengundi Cina.
Pemimpin MCA Bahagian Indera Mahkota, Quek Tai Seong percaya perwakilan tidak harus tergesa-gesa membuat keputusan berhubung keanggotaan BN, walaupun lima bulan sudah berlalu sejak pilihan raya umum.
“Selepas pemilihan parti selesai, kepimpinan baru parti akan berkuasa dan ia masih belum terlambat untuk membincangkan isu ini,” katanya.
“Terdapat 13 komponen dalam BN sebelum ini. Masih ada tiga yang tinggal. Sekiranya keadaan politik memerlukannya, MCA boleh sahaja meninggalkan BN.
“Tetapi sekiranya anggota parti lain meninggalkan konsep BN, merekalah yang sepatutnya meninggalkan BN, bukannya MCA.”
Quek berkata kepimpinan semasa parti itu “tidak sesuai” untuk membuat keputusan sama ada menarik diri daripada BN dan membiarkan kepimpinan baru menangani isu selepas pemilihan parti.
Pada September, Presiden Liow Tiong Lai memberitahu konvensyen parti di Selangor bahawa beliau memberitahu Umno yang MCA menentang sebarang retorik kaum atau agama.
“BN akan berpegang kepada prinsip-prinsip kesederhanaan. Jika mana-mana parti komponen, termasuk Umno, bergerak ke arah perkauman, agama, teokrasi atau ekstremisme, maka hanya tinggal dua pilihan,” katanya.
“Pilihan pertama ialah membubarkan BN kerana tidak lagi menjadi perhimpunan kaum yang harmoni. Pilihan kedua adalah untuk menyingkirkan Umno.”
Bekas presiden MCA, Chua Soi Lek mengkritik kenyataan Liow.
“Ia menjadi jenaka politik terhebat tahun ini. Kenyataan seperti ini tidak akan membangkitkan keyakinan,” kata Chua pada majlis pelancaran memoirnya di Kuala Lumpur, Ahad lalu, sambil menambah MCA harus menarik diri daripada BN.
Perwakilan MCA Hulu Selangor Lee Yong Ching percaya kepimpinan baru parti itu akan “membuat keputusan paling disenangi parti.”
“Sama ada MCA menarik diri daripada BN atau tidak, adalah keputusan penting, yang akan memberi kesan kepada masa depan parti.
“Anggota MCA juga harus menerima bahawa kita adalah parti pembangkang. Oleh itu, kepimpinan baru juga harus memastikan parti memainkan peranan yang tepat sebagai parti pembangkang, memeriksa kerajaan pemerintah, bagi memastikan mereka melakukan perkara yang betul. Kita juga perlu memantau hak dan kepentingan masyarakat Cina.”

Perwakilan pusat Kota Raja, Lim Lok Tian, percaya terdapat kekurangan sekiranya ia menarik diri daripada gabungan itu.
“Adakah perlu untuk menarik diri? Tidak semestinya ia benar-benar mendatangkan kebaikan. Sebagai anggota akar umbi, sama ada kita akan kekal dalam BN, biarlah kepimpinan kita membuat keputusan.”
Timbalan Presiden Wee Ka Siong, ahli Parlimen tunggal MCA, dijangka bertanding jawatan tertinggi dengan Ketua MCA Perak, Dr Mah Hang Soon sebagai timbalannya.
Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu juga bertanding jawatan tertinggi. Calon timbalan presiden ialah Timbalan Pengerusi MCA Johor dan bekas exco Tee Siew Kiong.
Wee belum menyatakan secara jelas kedudukannya sama ada MCA harus menarik diri daripada BN, dengan mengatakan perkara itu harus diputuskan pada jawatankuasa pusat parti itu.
Sebaliknya, Gan berjanji keluar daripada BN jika beliau menang pemilihan parti.
Beliau berkata ia akan menjadi “kematian yang pasti” bagi MCA untuk kekal dalam BN dan meninggalkan gabungan itu akan memberi peluang kedua.
Pada PRU14, MCA bertanding di 39 kerusi Parlimen tetapi hanya memenangi satu - Ayer Hitam - oleh Wee.
Ia juga bertanding di 90 kerusi negeri tetapi hanya menang dua. Umno memenangi 54 kerusi Parlimen manakala MIC memenangi dua kerusi Parlimen. – 26 Oktober, 2018.
Komen