Umno sudah tiada, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Umno mempunyai ahli yang terdesak untuk melindungi pemimpin yang korup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Oktober, 2018

TIDAK ada masa depan untuk Umno kerana ia mempunyai “ahli terdesak” yang terus mempertahankan pemimpin yang tidak betul, kata Dr Mahathir Mohamad pada forum hari ini.

“Umno sudah tiada. Umno yang saya sertai menunaikan janji yang dibuat untuk bangsa, agama dan negara. 

“Perjuangan Umno sudah berubah kepada macam mana untuk jaga Najib Razak sebagai pencuri paling besar. Itu bukan Umno. 

“Tidak apa kalau ada seorang pemimpin korup tetapi ada banyak di pelbagai peringkat,” kata Dr Mahathir yang menyertai Umno pada 1946. Beliau meninggalkan parti pada 2016 untuk menubuhkan Bersatu. 

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata, ahli Umno terdesak kerana ada sebahagian daripadanya pertahankan dakwaan penyelewengan oleh Najib yang merupakan bekas presidennya berhubung “derma dari Arab Saudi”.

Walaupun selepas meninggalkan Umno, ada lagi yang mengatakan wang itu datang dari Arab. Arab mana yang nak beri duit sebanyak itu?” kata Dr Mahathir pada forum ajuran Sinar Harian di Shah Alam. Forum berkenaan diacarakan oleh wartawan veteran Johan Jaafar.

Ditanya sama ada penyelewengan Umno berpunca daripada sistem yang diteruskan ketika beliau menjadi presiden parti dari 1981-2003, Dr Mahathir menjawab beliau menerima cabaran. 

“Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah cabar saya dan Anwar Ibrahim tidak setuju dengan saya. Tetapi saya tidak pecat mereka,” katanya. 

Ketika Musa dan Tengku Razaleigh meninggalkan Umno untuk menubuhkan Semangat 46 seelpas tewas kepada Dr Mahathir dalam pemilihan parti pada 1987, Anwar dipecat daripada Umno pada 1997 sebelum beliau didakwa kerana liwat dan penyalahgunaan kuasa.

Sebahagian daripada penonton yang hadir pada forum anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Oktober, 2018

Pengerusi Pakatan Harapan itu juga berkata Umno mempunyai ramai “penyokong buta” yang enggan menerima hakikat. 

Ditanya sekiranya perkara yang sama bokeh berlaku dalam PH, Dr Mahathir berkata apa yang membezakannya adalah pakatan baharu mempunyai struktur kuasa yang lebih baik. 

“Pakatan merupakan gabungan empat parti yang mempunyai kekuatan yang hampir sama. Ia akan jatuh sekiranya ada parti meninggalkannya dan itu sebabnya kita perlu dnegar antara satu sama lain. Jika salah seorang daripada kita salah, kita akan kritik secara dalaman,” kata pengerusi Pakatan itu. 

Berhubung naratif Umno bahawa pemimpinnya - Najib dan presiden parti sekarang Ahmad Zahid Hamidi - didakwa kerana penganiayaan politik, pengerusi Bersatu itu berkata: “Tunjukkan kami bukti”.

“Kita tidak mereka pendakwaan ini. Mereka didakwa oleh Peguam Negara, yang bukan dari mana-mana parti. 

“Untuk beliau (Tommy Thomas) mendakwa mereka, beliau perlu pastikan ada bukti yang cukup.”

Katanya, Umno perlu buktikan pemimpin mereka tidak bersalah. 

Najib berdepan 32 pertuduhan pengubahan wang haram, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berhubung wang yang didakwa dari 1MDB yang disalurkan ke akaun peribadinya, manakala Zahid berdepan 45 pertuduhan membabitkan dana daripada yayasan kebajikan yang mana beliau merupakan pemeegang amanahnya.  – 22 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen