Dr Mahathir bimbang tak dapat penuhi jangkaan rakyat


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab soalan dari bekas wartawan yang juga Pengerusi Media Prima Johan Jaafar yang bentindak sebagai moderator pada forum “Bicara Minda Bersama Perdana Menteri” anjuran Sinar Harian hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Oktober, 2018.

DR Mahathir Mohamad dihujani pelbagai soalan mengenai kebebasan media, prestasi menteri dan bekas partinya, Umno pada forum di Shah Alam hari ini.

Meskipun beliau merupakan perdana menteri tertua di dunia, percakapan Dr Mahathir tidak ‘setua’ usianya ketika beliau menjawab soalan dari bekas wartawan yang juga Pengerusi Media Prima Johan Jaafar yang bentindak sebagai moderator pada forum “Bicara Minda Bersama Perdana Menteri” anjuran Sinar Harian.

“Semasa saya letak jawatan pada 2003, saya hanya mahu berehat. Tetapi beberapa minggu kemudian, saya rasa tak selesa dengan pentadbiran baru dan beberapa orang datang jumpa saya seorang demi seorang minta saya buat sesuatu,” kata Dr Mahathir ketika ditanya apakah beliau pernah terbayang akan kembali memegang kuasa selepas 15 tahun bersara.

Anak jati Kedah itu melepaskan jawatan sebagai perdana menteri pada 31 Oktober 2003 selepas 22 tahun berada dalam tampuk pemerintahan.

Hari ini, beliau sekali lagi berkata menjadi perdana menteri buat kali kedua bertambah sukar kerana Pakatan Harapan (PH) mewarisi “jentera kerajaan yang rosak dan pengurusan kewangan yang lemah”.

Di dewan yang dipenuhi hadirin itu, Dr Mahathir berkata beliau bimbang tidak dapat memenuhi jangkaan rakyat.

Hadirin pada forum “Bicara Minda Bersama Perdana Menteri” anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Oktober, 2018.

“Rakyat fikir saya boleh buat macam-macam tetapi saya juga buat silap, walaupun saya cuba gunakan pengalaman dulu sebagai panduan. Tetapi situasi sekarang bukannya mudah.

“Saya bukan ahli silap mata. Saya hanya orang biasa yang cuba untuk selesaikan masalah dengan idea dan perbincangan,” ujar beliau.

Kata Dr Mahathir, rakyat Malaysia menjangkakan harga barangan akan jatuh dengan cepat dan pemimpin-pemimpin dahulu yang terpalit rausuah akan dipenjarakan sebaik sahaja berlaku peralihan kerajaan.

“Tetapi hutang dan tahap kerosakannya di luar jangkaan.”

Beliau yang pernah digelar “diktator” oleh seteru politiknya berkata terpaksa menyesuaikan diri dengan rakan politik baharu iaitu parti-parti dalam PH yang berbeza ideologi.

“Dulu, saya yakin apa yang dicadangkan akan dilaksanakan tetapi sekarang ada empat parti berbeza dengan idea dan aspirasi yang berbeza.

“Kalau saya boleh jadi diktator, senanglah. Tetapi kalau kita hendak bejaya, kita mesti dengar pandangan orang lain juga,” pengerusi PH itu berkata.

Berkenaan kritikan terhadap menteri-menteri Kabinet yang kurang pengalaman dan tumpuan, Dr Mahathir berkata itu lebih baik berbanding mempunyai satu pasukan pencuri.

“Legasi saya ialah Kabinet dengan pengalaman (pada 2003) tetapi (sekarang) selain saya dan mungkin Muhyiddin, semuanya orang baru.”

Ada perancangan menghantar menteri jalani latihan di institut latihan perkhidmatan awam, Intan, tambah Dr Mahathir.  – 22 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen