Dr Mahathir ulangi kenyataan Anwar akan gantikan dirinya


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab soalan moderator Johan Jaafar pada forum anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Oktober, 2018

ANWAR Ibrahim akan menjadi perdana menteri seterusnya, kata Dr Mahathir mengulangi kenyataan pada forum yang diadakan di Shah Alam hari ini. 

“Ia adalah janji saya apabila saya letak jawatan, perdana menteri seterusnya adalah Anwar jika itu yang rakyat Malaysia mahu,” kata perdana menteri berusia 93 tahun itu. 

“Saya akan pergi tak lama lagi dan perlu ada pengganti,” katanya pada forum yang dianjurkan akhbar Sinar Harian hari ini. 

Namun perdana menteri itu turut berseloroh yang beliau tidak boleh beri jaminan Anwar merupakan yang terbaik untuk jawatan itu kerana trek rekodnya sebelum ini yang gagal membuat pilihan. 

“Saya tak boleh jamin apa-apa. Saya pilih Abdullah untuk gantikan saya lihat apa yang berlaku. Selepas itu saya pilih Najib, anak Abdul Razak dan itu lebih teruk. 

“Saya tak boleh jamin apa-apa,” kata Dr Mahathir. 

Perdana menteri berkata demikian selepas ditanya oleh moderator Johan Jaafar sekiranya Anwar adalah calon terbaik untuk menggantikkannya apabila beliau bersara.

Anwar, 71, akan menggantikan Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun mengikut perjanjian antara semua parti Pakatan Harapan. 

Bagaimanapun, Dr Mahathir beberapa kali mengulangi bahawa perjanjian itu masih diteruskan, manakala Anwar turut mengulangi kenyataan beliau akan memberi ruang kepada perdana menteri untuk mentadbir susulan spekulasi dan dakwaan konspirasi bahawa rancangan penggantian itu tidak akan terlaksana.

Dua pemimpin ini merupakan bekas musuh ketika Dr Mahathir memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998 dan Anwar dibicara dan dipenjara kerana liwat dan penyelewengan. – 22 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen