PEMBUNUHAN wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi adalah zalim dan tidak boleh diterima, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kita pun ada orang yang kita tak suka, tapi kita tak boleh bunuh dia. Saya dulu pun orang tak suka juga.
“Kalau sistem kita macam sistem Arab mungkin saya tak bercakap hari ni. Kita tak sokong perbuatan membunuh pengkritik kerajaan,” kata Dr Mahathir pada forum “Bicara Minda Bersama Perdana Menteri” anjuran Sinar Harian hari ini yang dikendalikan oleh wartawan veteran dan Pengerusi Media Prima, Johan Jaafar.
Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembunuhan Kashoggi, yang kali terakhir dilihat ketika memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.
Khashoggi sentiasa mengkritik kerajaan Arab Saudi dan Putera Mahkota Mohamed Salman.
Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir dalam laporan media dipetik berkata Khashoggi terbunuh dalam satu pergaduhan dalam konsulat dan menafikan pembunuhannya atas arahan Putera Mahkota.
Pembunuhan wartawan itu mencetuskan kemarahan di peringkat antarabangsa dan setakat ini Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis serta Belanda mengumumkan menarik diri daripada menyertai sidang kemuncak pelaburan di Riyadh. – 22 Oktober, 2018.
Komen