SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak harus dipersalahkan atas penahanan pemimpin Umno, kata Nazri Aziz.
Ahli Padang Rengas itu berkata sebarang tindakan yang diambil oleh agensi anti rasuah itu perlu dihormati dan diterima.
“Bagi saya, kita kena hormat apa yang SPRM sedang lakukan.
“Bagi mereka yang mahu pertahankan diri, sila ke mahkamah. Jangan salahkan SPRM,” beliau memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini.
“Kita kena tengok cara bagaimana SPRM lakukan kerja dan kalau kita hormat kebebasan SPRM, kita kena terima,” tambah Nazri sambil menegaskan kepercayaannya terhadap agensi anti rasuah itu.
Antara pemimpin Umno yang telah dipanggil SPRM ialah bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi.
Najib dihadapkan dengan 32 pertuduhan berhubung pengubahan wang haram, rasuah dan salah guna kuasa. Zahid pula dihadapkan dengan 45 pertuduhan berhubung pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114.15 juta. – 22 Oktober, 2018.
Komen