Hotel Sabah terkejut dapat surat pendaftaran cukai


Jason Santos

Menteri Sabah dan Sarawak sebelum ini tidak berpuas hati dengan pelaksanaan cukai pelancongan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kini mengenakan cukai terhadap pelancong asing pada kadar RM10 setiap malam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2017.

PENGUSAHA hotel Sabah terkejut apabila menerima nombor pendaftaran cukai pelancongan walaupun mereka masih belum mendaftar.

Presiden Persatuan Pengusaha Hotel Sabah Christopher Chan berkata Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sudah pun mendaftarkan untuk mereka.

“Kami terkejut, surat pendaftaran cukai sudah pun dihantar kepada ahli kali terlebih dulu,” katanya.

Surat pendaftaran itu yang menyatakan cukai akan dilaksanakan bermula 1 September itu juga disahkan Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani yang ada di Kota Kinabalu malam tadi.

Selepas pertelingkahan antara menteri Sabah dan Sarawak dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan persekutuan, cukai itu kini akan hanya dikenakan pada pelancong asing pada kadar RM10 setiap malam.

“Peranan kami hanya untuk mengutip cukai itu untuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan semua kutipan itu akan diuruskan oleh kementerian,” kata Johari.

Ketika ditanya sama ada Kementerian Kewangan mempertimbangkan memorandum bersama yang dikeluarkan Sabah dan Sarawak berhubung isu cukai itu, Johari berkata rayuan seperti itu diserahkan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Dalam sidang DUN Sabah baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Masidi Manjun berkata memorandum bersama itu sudah diserahkan kepada persekutuan pada Julai lalu.

Antara isi kandungannya ialah memohon cukai pelancongan dikuatkuasakan pada Mac tahun depan bagi membolehkan hotel menyelesaikan semua kontrak sedia ada bersama operator pelancongan.

Bagaimanapun, Johari berkata hotel terikat dengan kontrak berkenaan akan diberikan pengecualian selagi mereka ada dokumentasi untuk membuktikannya. – 12 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen