Kerajaan akan dapat semula RM10 bilion jika ECRL batal


Chan Kok Leong

Kerajaan PH umum projek ECRL akan disemak semula selepas dianggarkan kosnya akan mencecah RM81 bilion selepas mengambil kira bayaran pengambilan tanah, faedah, fi dan kos operasi lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2018.

PUTRAJAYA berpeluang mendapatkan semula bayaran pendahuluan RM10 bilion jika projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dibatalkan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Namun status ECRL masih belum diputuskan sehingga rundingan lanjut untuk mengurangkan kos diselesaikan,” katanya di Parlimen ketika sesi soal jawab hari ini.

“Tetapi kita berpeluang mendapat semula RM10 bilion bayaran pendahuluan jika projek itu dibatalkan.”

Ahli Parlimen Bagan itu menjawab soalan Noh Omar (Tanjong Karang-BN) berkenaan status projek ECRL.

Malaysia, menerusi anak syarikatnya Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), membayar kepada kontraktor China Communication Construction Company (CCCC) sebanyak RM19.68 bilion untuk projek mega itu. Sejumlah RM10.02 bilion ialah bayaran pendahuluan, sementara bakinya RM9.67 bilion untuk bayaran kemajuan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengumumkan bahawa projek itu akan disemak semula selepas dianggarkan kosnya akan mencecah RM81 bilion selepas mengambil kira bayaran pengambilan tanah, faedah, fi dan kos operasi lain.

“Bon bayaran RM10.02 bilion boleh ditebus semula oleh MRL jika projek itu batal. Paling teruk pun, kerajaan persekutuan boleh dapat semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang sudah dibayar,” kata Lim.

Beliau berkata Malaysia ada empat sesi rundingan dengan China sejak Julai.

“Tetapi hingga sekarang, MRL dan CCC belum mencapai persetujuan tentang cadangan untuk mengurangkan kos ECRL.”

Sementara itu, Lim berkata kerajaan negeri Selangor membantah projek itu kerana landasan kereta api dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan menjejaskan permohonannya untuk mendapatkan status warisan Unesco, bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16km.

“ECRL sudah tentu menjejaskan permohonan kerajaan negeri,” kata Lim.

Lim berkata kerajaan sudah mengeluarkan notis penangguhan kepada CCC pada 3 Julai dan projek itu digantung sehingga diberitahu kelak daripada Kementerian Kewangan. – 22 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen