MALAYSIA boleh menjadi sebuah negara maju menjelang 2025 sekiranya ia dapat menguasai perkilangan dan teknologi baharu, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Kita masih mahu menjadi negara maju yang datang dengan beberapa kriteria. Dalam usaha untuk melakukannya kita perlu mencapai beberapa tahap pertumbuhan,” kata Perdana Menteri pada wawancara bersama Awani hari ini.
Beliau berkata negara membangun bukan hanya diukur menerusi pendapatan perkapita dan Malaysia memerlukan beberapa kemampuan seperti menguasai perkilangan dan memfokuskan kepada pengetahuan berdasarkan tenologi.
“Sekiranya kita tidak menguasai perubahan baharu ini, kita akan ketinggalan. Sekiranya kita boleh lakukan ini, kita boleh jadi negara maju menjelang 2025,” kata Dr Mahathir.
Beliau menjawab soalan mengenai apakah wawasan jangka panjangnya untuk negara.
Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata teknologi telah mengubah cara masyarakat menjalankan perniagaan.
“Sebelum ini, peniaga hanya berniaga dalam kedai mereka atau kampung tetapi hari ini mereka boleh menjual ke seluruh dunia menerusi pemasaran dalam talian. Pasaran sudah tumbuh lebih besar dan perubahan ini hanya akan beri kelebihan kepada kita jika kita menguasainya.”
Melangkah ke hadapan, Malaysia perlu terus mengeluarkan barangan bernilai tinggi seperti kereta walaupun sukar pada mulanya.
“Kita tidak boleh mengharapkan kepada barangan import kerana ia menyebabkan pengaliran keluar modal dan jika kita terus melakukan sesuatu berulang kali, ia akan menjadi lebih baik.
“Proton pertama yang kita hasilkan tidak sebagus yang kita ada sekarang. Sama juga, kereta pertama Korea Selatan dan Jepun tidak bagus ketika ia dihasilkan banyak tahun dulu.
“Tetapi sekarang, kereta Korea sudah diterima di Amerika Syarikat dan mereka ada kilang mereka di sana,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata beberapa bulan pertama kerajaan Pakatan Harapan memfokuskan kepada pemulihan.
Katanya jentera dan kewangan kerajaan sangat teruk berbanding yang mereka jangka ketika mengambil alih pentadbiran pada Mei.
“Mulanya kita fikir kerajaan hanya terikat kepada RM55 bilion untuk bina ECRL tetapi keadaan kerajaan sangat teruk. Dan tidak banyak yang boleh kita lakukan tetapi menanggung akibatnya.
“Oleh itu, kerajaan tidak memfokuskan kepada pelaburan dan perkembangan ekonomi tetapi pemulihan. Tetapi kini kita beralih kepada pelaburan swasta dan pembangunan infrastruktur.
“Kita harap pelaburan swwasta akan menyumbang kerana kerajaan tidak mempunyai wang yang cukup. Terdapat perkatra yang sektor swasta boleh lakukan dengan baik seperti membina rumah mampu milik,” kata Dr Mahathir.
Katanya dasar kerajaan sebelum ini adalah untuk galakkan import.
“Tetapi kita mahu hasilkan barangan dan kurangkan import,” kata Dr Mahathir. – 21 Oktober, 2018
Komen