PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad terus bekerja pada usia 93 tahun kerana beliau mahu tunjukkan ia boleh dilakukan.
“Kita perlu sentiasa ada harapan. Jika kita mengalah, tidak akan ada perubahan. Walau sukar kita perlu cuba.
“Ini sebabnya mengapa saya terus bekerja dan mengapa orang cakap saya gila kerja. Saya mahu tunjukkan kita boleh bekerja hingga 93 tahun,” katanya pada temubual dengan Awani malam ini.
“Kita tidak boleh mengeluh itu kotor atau ini bahaya dan tidak buat apa-apa. Saya percaya jika kita berikan kerja kita kepada orang lian, kita akan diperhambakan mereka,” kata Dr Mahathir.
Beliau menjawab soalan berhubung apa yang memberikan beliau harapan untuk masa depan.
Ketika sesi temubual selama satu jam itu, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh bergantung kepada buruh asing sahaja.
“Bila kita menggaji kebanyakan warga asing, mereka akan mendapat wang dan kemudian menghantar balik wang itu dan akan berlaku aliran keluar modal.
“Saya lawat banyak tapak pembinaan tetapi susah nak jumpa orang Melayu. Tetapi ketika saya ke Jepun, semua pekerja binaan mereka adalah orang Jepun.”
Katanya, kebanyakan rumah di Langkawi contohnya dibina oleh warga Thai.
“Adakah kita hanya bekerja dalam pendingin hawa?”
Beliau berkata generasi muda perlu mengubah sikap mereka sekiranya mahu maju ke hadapan.
“Baru-baru ini, timbalan menteri pertanian bercakap kepada petani dan nelayan mengenai meningkatkan pendapatan mereka dan mereka meminta insentif.
“Kenapa kita harus memberi insentif kepada mereka untuk melakukan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri? Tidakkah mereka boleh membuat lebih banyak insentif sendiri?”
Sementara itu, Dr Mahathir memberikan markah “40-50” kepada menterinya bagi tempoh lima bulan pertama mereka dalam kerajaan.
“Walaupun mereka tiada sebarang pengalaman, mereka cepat belajar. Ketika mesyuarat kabinet, mereka belajar bagaimana untuk mentadbir dan bukan hanya menjadi pembangkang.
“Ini tidak mudah tetapi setakat ini tiada apa yang tidak diingini,” kata Dr Mahathir ketika ditanya bagaimana beliau menilai Kabinetnya.
Dalam temu bual itu, Dr Mahathir berkata persepsi rakyat terhadap kerajaan telah banyak berubah dalam tempoh lima bulan yang lalu.
“Mereka sekarang boleh menangani kerajaan tanpa rasuah. Setakat ini, tidak ada aduan dari pihak korporat bahawa kita terbabit rasuah.
“Apabila kita menukar kerajaan tidak ada lagi rasuah kerana orang takut dengan langkah yang telah kita ambil untuk memerangi rasuah. Tidak ramai yang melihat ini, tetapi ia berjaya.
“Pegawai kerajaan tidak lagi berusaha memperkayakan diri kerana ciri-ciri kerajaan telah berubah,” kata Dr Mahathir. – 21 Oktober, 2018
Komen