PENGGUNA dan pemilik perniagaan kecil mendapati harga barang tidak banyak turun sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Malah, sesetengah daripadanya berasakan berakhirnya cukai percutian tiga bulan selepas pemansuhan GST pada Jun, agak menyakitkan.
“Hidup hanya indah ketika tempoh peralihan GST dan SST. Saya gembira sepanjang tempoh itu,” kata Julia Roberts, 53, dari Petra Jaya, Sarawak.
“Kemudian datang SST. Saya rasa tertipu oleh kerajaan.”
Tetapi Julia hanya seorang daripada sedikit pengguna yang rasa tertipu oleh pelaksanaan SST.
SST dikuatkuasakan pada 1 September, dan walaupun ada yang seperti Julia merungut tentang kembalinya barangan pengguna yang dikenakan cukai, kebanyakan yang lain mengalu-alukan penurunan harga kebanyakan barang, walaupun kurangnya kecil saja.
Bagi sesetengah orang, pengurangan yang sedikit itu pun dapat memberi kelegaan dalam bil bulanan mereka.
“SST hanya dikenakan pada barangan terpilih, tidak seperti GST. Jadi sudah tentu perbelanjaan bulanan menurun,” kata Nasib Thien Wei Ren, 31, dari Putatan, Sabah.
“Bukan penurunan yang besar, mungkin sekitar 20% daripada perbelanjaan barangan runcit bulanan kami,” katanya yang memperoleh RM2,500 sebulan dengan memandu Grab secara sepenuh masa.
Lim dari George Town, Pulau Pinang berkata peralihan dari GST ke SST telah menurunkan harga beberapa barangan, tetapi tidak beri banyak beza terhadap kuasa beli keluarganya.
“Saya tengok beberapa barang macam barang mentah lebih murah dari dulu. Tapi tak semualah,” katanya.
“Kami tak banyak berbelanja. Ekonomi tak berapa baik dan ambil masa untuk pulih,” kata wanita berusia 60 tahun itu.
Barang lebih murah tetapi pengguna berhati-hati
Beberapa pemilik kedai runcit dari Puchong di Lembah Klang berkata menggantikan GST dengan SST tidak meningkatkan kuasa beli kerana kebanyakan orang berhati-hati bila berbelanja.
“Sejak harga barang naik sebab GST, kami boleh nampak kuasa beli turun mendadak,” kata Alice Choy dari kedai runcit Choy Foong Enterprises.
“Walaupun kami belum laksanakan SST, kebanyakan orang masih tidak berbelanja macam dulu.”
Tan, pemilik kedai runcit di Butterworth berkata perniagaannya mengalami sedikit perubahan selepas kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan GST dan menggantinya dengan SST.
“Saya rasa masalahnya bukan semata-mata sistem cukai. Masalahnya ialah rakyat tak cukup duit untuk berbelanja sekarang ini.”

Kos perniagaannya juga lebih kurang sama sahaja, kata Tan.
“Tak ada peningkatan. Kalau dulu saya kena tanggung GST 6%, sekarang saya kena hadap SST 5%. Tak ada banyak beza dalam jumlah yang saya kena bayar pada pembekal.”
Bagi penjual makanan kering, Ooi, pemansuhan GST memberi kelegaan besar kerana barang jualannya tidak perlu lagi dikenakan cukai.
Ooi yang menjalankan perniagaan import makanan kering dan beberapa barangan lain yang tidak boleh dimakan dari negara seperti China dan Taiwan, berkata sistem SST juga lebih mudah dilaksanakan berbanding GST.
“Dulu, kalau saya import kayu jut berharga RM1,000, RM60 pergi ke GST. Pernah sekali pengeksport Hong Kong naikkan harga. Pelanggan saya tak puas hati,” katanya.
“Kami tak ada masalah dengan SST. Colok dan barang-barang upacara sembahyang lain semua dikecualikan.
Ooi mengakui penurunan dalam jualan mungkin kerana banyak sebab, bukan semuanya kerana SST.
“Ini isu lain. Bisnes tak jalan mungkin kerana banyak sebab. Mungkin ada masalah pemasaran,” katanya.
Kata Ooi lagi, walaupun harga barangan tidak turun mendadak selepas GST dimansuhkan, ramai pengguna dan peruncit lega dengan pengenalan SST.
“Apa yang saya boleh cakap, bila GST tak ada, kita tak dengar lagi rakyat marah kerajaan tiap-tiap hari macam dulu.” – 22 Oktober, 2018.
Komen