GURU perlu celik media kerana semakin ramai kanak-kanak menggunakan media sosial pada usia muda, kata Pusat Media dan Literasi Maklumat yang berpusat di Philadelphia.
Menurut Pengarahnya, Sherri Hope Culver, ini penting kerana kanak-kanak menghadap telefon pintar, tablet dan peranti lain selama berjam-jam dalam sehari.
“Kenapa penting untuk pelajar mulakan dari usia muda? Kerana jika mereka akan menggunakannya, maka ada keperluan untuk membantu kanak-kanak jadi celik media.
“Sesetengah sekolah sudahpun memasukkan literasi media subjek dalam sukatan pelajaran,” katanya semasa taklimat media baru-baru ini mengenai “Philadelphia on Media Literacy and Combating Misinformation” anjuran Foreign Press Centre.
Culver berkata pelajar perlu mempunyai kemahiran asas jika mereka sudah cukup dewasa untuk menggunakan media.
“Sekalipun jika kanak-kanak berusia 1 atau 2 tahun menggunakan tablet atau telefon pintar, mereka perlu sedar bagaimana dan berapa kerap mereka menggunakannya.
“Literasi media akan bantu mereka apabila mereka semakin besar, seperti 5, 6 tahun. Pada ketika itu, mereka mempunyai pemikiran kritikal dan ini lama kelamaan akan meningkat.”
Culver menambah, walaupun tiada keperluan mendesak bagi kursus literasi media tertentu, guru yang terlatih boleh mennyertakan aspek-aspek literasi media ke dalam kelas. – 21 Oktober, 2018.
Komen