Ramai mulai tidak puas hati pelantikan politik Warisan di Sabah


Jason Santos

Parti-parti pemerintah di Sabah mula berbalah susulan pelantikan politik yang dikatakan dimonopoli oleh Parti Warisan Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2018.

TANDA perbalahan antara parti-parti pemerintah di Sabah mula kelihatan dan mereka mendakwa Parti Warisan Sabah (Warisan) “memonopoli” pelantikan politik dalam kerajaan negeri yang baru berusia lima bulan.

Beberapa bantahan dibuat oleh ahli DAP Sabah berhubung pelantikan orang Warisan sebagai pemimpin pembangunan masyarakat (PPM) untuk Bingkor and Keningau, sebelum ini.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka yang dilantik sebagai ketua PPM tidak hadir untuk menerima pelantikan mereka pada satu majlis diadakan pada 3 Oktober.

Sumber berkata PPM untuk Kiulu dan Kuala Penyu gagal hadir susulan bantahan dalam kalangan pemimpin akar umbi di kedua-dua kawasan itu.

Dakwaan monopolisasi itu tidak terhad kepada pelantikan PPM tetapi juga ahli majlis kerajaan tempatan dan ketua entiti berkaitan kerajaan.

Terbaru, United Pasok Momogun (Upko) cawangan Penampang berang apabila Warisan tidak memasukkan Upko dalam lembaga penasihat kerajaan negeri, susulan kebocoran maklumat.

Walaupun Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dikatakan sering beri peringatan tentang perkongsian kuasa, masih ada banyak masalah dalam melaksanakan pelantikan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2018.

Berkata tahu tentang masalah itu, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau berkata beliau akan membincangkan tentang agihan lantikan politik yang tidak adil itu dengan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

“Ya, ada banyak yang tidak gembira. Saya fikir bukan Upko saja tetapi rakan-rakan lain di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang Upko tidak boleh terima ialah bila masyarakat akar umbi (bukan ahli Upko) menuduh kami bukan sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Saya cuba untuk terus mengingatkan mereka bahawa walaupun kami tidak menyertai Warisan-PH, kami membentuk kerajaan negeri bersama Warisan-PH,” katanya.

Walaupun ketua menteri sering memberi peringatan tentang perkongsian kuasa, Tangau berkata masih ada banyak masalah dalam melaksanakan pelantikan itu.

“Ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi di banyak bahagian dari Penampang, Kudat, Sandakan dan Semporna,” katanya.

Walaupun majlis diadakan untuk pelantikan PPM, kerajaan Sabah yang diterajui oleh Warisan tidak membuat pengumuman terbuka tentang semua pelantikan itu, termasuk untuk syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Shafie ketika ditanya tentang pelantikan itu berkata beliau bukan mahu melengahkannya, tetapi pada masa ini masih menunggu persetujuan Yang Dipertua Negeri Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata Juhar pada masa ini sedang menunaikan ibadat umrah di Mekah. – 21 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen