Tragedi tanah runtuh Pulau Pinang, 2 lagi dilapor hilang


Looi Sue-Chern

Ketua Pesuruhjaya Bomba Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata pihaknya baharu sahaja menerima laporan tersebut daripada kawan mangsa pada jam 5 petang tadi. Ia menjadikan lima mangsa masih tertimbus. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

JABATAN Bomba dan Penyelamat menerima laporan yang dua lagi warga asing mungkin tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang.

Ketua Pesuruhjaya Bomba Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata pihaknya baharu sahaja menerima laporan tersebut daripada kawan mangsa pada jam 5 petang tadi.

“Kedua-duanya warga Bangladesh. Kami percaya ada kemungkinan mereka tertimbus. Mereka mungkin pekerja atau bukan pekerja di tapak itu.

“Kami akan menghantar unit anjing pengesan sekali lagi ke kawasan bencana,” katanya kepada wartawan malam ini.

Laporan kehilangan terbaru itu bermakna sekarang lima orang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan jalan raya yang berlaku tengahari semalam itu.

Setakat ini, empat mayat sudah ditemui dan tiga yang lain berjaya menyelamatkan diri.

Saadon berkata operasi mencari dihentikan pada jam 7 petang tadi kerana cuaca gelap dan pergerakan tanah.

Katanya, pihak bomba akan mendapatkan nasihat Jabatan Mineral dan Geosains berkaitan isu pergerakan tanah.

“Kita akan menyambung misi mencari pada jam 8 pagi esok jika tidak ada risiko pergerakan tanah,” katanya. – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen