Umno dibunuh tohmahan, kata Ku Li


Noel Achariam

Amaran awal Umno makin hilang sokongan sudah wujud sejak 2014 tetapi tidak diendahkan, kata Tengku Razaleigh Tengku Hamzah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Oktober, 2018.

UMNO dibunuh pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu kerana tidak dapat mempertahankan dirinya daripada pelbagai tohmahan, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno itu berkata ramai pemimpin Umno tidak menjangka akan kalah teruk pada pilihan raya 9 Mei itu.

“Malah ada yang mencadangkan kami akan menang balik dengan dua pertiga majoriti.

“Saya sudah kata yang Umno berkemungkinan besar akan kembali dalam situasi tergantung dan mustahil untuk kami ada majoriti mudah sekalipun,” katanya selepas pelancaran buku “The End of Umno?” di Kuala Lumpur hari ini.

Barisan Nasional diterajui Umno ditewaskan Pakatan Harapan pada PRU14 itu.

Katanya, terdapat banyak kes keluar Umno dalam kalangan pengundi muda.

“Orang muda tinggalkan parti dalam kadar yang tinggi. Data menunjukkan amaran bahaya ini seawal 2014 lagi. Mereka datang ke bandar dari luar bandar untuk bekerja.

“Tetapi mereka tak lupakan asal usul mereka. Mereka masih kekalkan pendaftaran mengundi mereka di kawasan luar bandar.

“Tiga pilihan raya lalu mereka pulang ramai-ramai untuk mengundi parti yang mereka suka kerana mereka tak suka elitism dan keangkuhan serta kurangnya demokrasi dalam Umno.”

Tengku Razaleigh hari ini melancarkan buku The Death of Umno? tulisan ahli akademik Bridget Welsh di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Oktober, 2018.

Tengku Razaleigh yang mesra dipanggil Ku Li itu juga berkata untuk Umno bangkit semula, politik wang perlu dihapuskan.

“Kita perlu ubah parti dan bawa orang muda untuk mendemokratikannya. Didik orang muda untuk bawa kepimpinan parti ke masa depan.”

Ku Li juga menambah yang ada tentangan terhadap rancangannya datang ke majlis pelancaran buku hari ini.

“Ada yang telefon dan cuba pujuk saya daripada terlibat dalam pelancaran, berkata saya tak boleh hadir ke pelancaran tentang kematian Umno.

“Saya dah lama dalam Umno dan penulisnya kawan baik saya.” – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen