SPRM akan siasat syarikat dikaitkan dengan pertuduhan Zahid


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu The Malaysian Insight, syarikat-syarikat yang terlibat akan disiasat, namun enggan mengulas lanjut apabila ditanya adakah syarikat-syarikat berkenaan adalah yang disebut dalam kertas pertuduhan terhadap Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat jika syarikat-syarikat yang disyaki terlibat dengan pertuduhan terhadap timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam terlibat dengan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki enggan mengulas apabila ditanya jika SPRM telah mengenal pasti bahawa syarikat-syarikat itu terlibat dalam skandal berkenaan.

“Jika syarikat-syarikat tersebut terlibat dalam rasuah, kita akan siasat,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Salah satu daripada syarikat itu ialah Mastoro Kenny IT Consultant & Services, yang mana Zahid didakwa menerima suapan berjumlah RM13.25 juta yang dibayar menerusi cek antara Julai 2016 hingga Februari 2017, yang dikatakan sebagai dorongan bagi projek-projek di bawah MyEG.

Sebuah lagi syarikat yang disebut ialah Jogabonito Jewellery & Diamond, yang mengeluarkan salah satu cek kepada Zahid bagi pihak Mastoro Kenny.

Juga disebut ialah Data Sonic Bhd, yang mana Zahid dikatakan menerima suapan berjumlah RM6 juta dari pengarah bernama Chew Ben Ben, sebagai ganjaran melantik syarikat itu membekalkan 12.5 juta cip pasport bagi lima tahun.

Profound Radiance Sdn Bhd pula berhubung dakwaan Zahid menerima suapan kerana melantik syarikat berkenaan sebagai pengendali perkhidmatan hentian setempat di Pakistan dan Nepal bagi KDN.

Harga saham MyEG Services Bhd dan Datasonic Group Bhd semalam menjunamberikutan berita bahawa syarikat-syarikat tersebut terlibat dalam dakwaan rasuah terhadap presiden Umno itu.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia semasa rehat tengah hari pasaran, Datasonic menjelaskan bahawa tidak semua syarikat atau pengarahnya membuat pembayaran kepada Zahid berhubung bekalan cip pasport itu.

Sementara itu dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia, MyEG menafikan pihaknya mengetahui individu dan syarikat yang didakwa membayar rasuah kepada Zahid untuk mendapatkan apa-apa projek.

MyEG juga mengatakan ia tidak pernah membayar apa-apa bayaran atau menjadi pihak yang membuat pembayaran sedemikian bagi memastikan pelantikannya sebagai pembekal perkhidmatan dalam talian untuk kerajaan.

Ia juga menegaskan bahawa dakwaan yang difailkan hari ini semuanya adalah terhadap bekas timbalan perdana menteri itu sendiri.

Sementara itu, ketika bercakap pada satu majlis, Azam berkata sebarang penjelasan hanya akan dikeluarkan oleh SPRM.

“Penjelasan akan dibuat oleh MACC, hanya jika siasatan kami menunjukkan syarikat itu tidak terlibat dalam sebarang perbuatan rasuah, mereka tiada melakukan kesalahan,” beliau memberitahu pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia hari ini.

“Kita siasat siapa sahaja yang terlibat dengan rasuah. Setakat ini, satu syarikat menafikan terlibat… itu terpulang kepada mereka untuk cakap begitu,” tambah Azam.

Beliau berkata demikian susulan MyEg Services Bhd semalam menafikan terlibat dalam kes Zahid. – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen