ORANG Islam mungkin rasa dicabar di bawah kerajaan baharu, tetapi harus menolak hasrat untuk menyokong langkah-langkah yang menindas dan bersifat drakonian bagi melindungi pandangan mereka, kata Anwar Ibrahim.
“Malaysia sekarang lebih terbuka dan bebas. Jika kita mahu mengekalkan kebebasan ini, tak boleh ada sekatan dengan undang-undang drakonian.
“Kalau ada undang-undang drakonian, ia dipanggil penindasan dan penafian hak orang lain,” kata bakal presiden PKR itu pada muktamar ke-47 Angkatan Belia Islam (Abim) di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai hari ini.
Meskipun masyarakat Islam akan berdepan cabaran dalam persekitaran demokratik, memilih kepada undang-undang drakonian hanya akan menyebabkan penindasan, katanya.
“Kalau kita pilih untuk menekan orang lain, seperti yang dianjurkan oleh beberapa Islamis dan parti-parti politik Islam, itu tandanya kita kembali kepada sistem lama.
“Sebab itu orang takut apabila persoalan mengenai Islam dibangkitkan, terutamanya apabila ia membawa semula bentuk autoritarianisme yang merbahaya.
“Menekan orang lain (minoriti) bukan demokratik,” kata ahli Parlimen Port Dickson yang dijangka mengambil alih tempat Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam tempoh dua tahun.

Anwar yang jadi presiden Abim dari 1974 hingga 1982 berkata orang Islam juga perlu mengelakkan neo-konservatisme di Malaysia yang majmuk.
Itulah sebabnya Anwar berkata beliau sentiasa lebih suka Islam dilihat dalam konteks “masyarakat majmuk” berbanding isu “bukan Islam di negara Islam”.
Bagaimanapun, beberapa perkara di Malaysia masih tidak berubah kerana sudah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Anwar.
Contohnya, semua rakyat Malaysia harus menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi ini tidak bermakna menjadi halangan bagi sesiapa pun untuk menggunakan bahasa lain.
“Pada 2018, Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan manakala bahasa Cina menjadi bahasa ekonomi serantau.
“Jadi, selagi Bahasa Melayu didukung, pembelajaran bahasa lain perlu digalakkan.
“Saya sendiri galakkan lebih ramai orang Melayu belajar bahasa Cina kerana ia bahasa yang penting dalam perniagaan,” kata Anwar. – 20 Oktober, 2018.
Komen