SUKAR dipercayai bekas presiden MCA, Dr Chua Soi Lek tidak mengesyaki dana diterima parti itu adalah wang “curi” sedangkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sudah pun tersiar dalam berita pada 2013, kata penasihat DAP Lim Kit Siang.
“Jika beliau tidak tahu, tidak mengapa. Tetapi jika anda mengesyaki ia wang yang dicuri, maka anda mesti bertanya (di mana wang itu datang),” kata Lim selepas menghadiri kongres tahunan Abim yang ke-47 di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai hari ini.
“Beliau (Chua) berkata ia daripada bapa (dan oleh itu dia tidak mengesyaki). Tetapi dalam kes ini, beliau tahu kerana pada 2013, kes 1MDB sudah menjadi isu besar,” kata Lim kepada pemberita.
Lim menjawab komen Chua yang parti itu tidak dapat mengetahui wang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak berpunca daripada 1MDB.
Najib, bekas pengerusi Barisan Nasional (BN), kini berdepan 32 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung transaksi wang daripada unit 1MDB, SRC International Sdn Bhd, serta RM2.6 bilion yang beliau dakwa sumbangan dari Arab Saudi.
Najib mengagihkan RM470 juta kepada parti komponen BN pada pilihan raya umum 2013, dengan RM16.5 juta diberi kepada MCA.
Lim, yang merupakan ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata MCA, MIC dan bekas parti komponen BN yang lain harus mengembalikan wang yang diterima kepada Perbendaharaan.
“Ini adalah kira-kira RM400 juta dan mereka harus mengembalikan wang ini. Kegagalan melakukannya, mereka tidak boleh bercakap mengenai integriti,” kata Lim. – 20 Oktober, 2018.
Komen