Mayat keempat kejadian tanah runtuh Pulau Pinang ditemui


Looi Sue-Chern

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh memberitahu media menerusi aplkasi WhatsApp yang mayat keempat itu ditemui pada jam 11.53 pagi tadi. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 20 Oktober, 2018.

MAYAT keempat kejadian tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang berjaya ditemui.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh memberitahu media menerusi aplkasi WhatsApp yang mayat keempat itu ditemui pada jam 11.53 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Bakthiar, seorang warga Indonesia.

Tiga mayat sebelum ini ditemui iaitu seorang lelaki Bangladesh berusia 35 tahun, soerang remaja Indonesia, 19, dan seorang wanita Myanmar,33.

Tanah runtuh berlaku sekitar jam 2 petang semalam di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Paya Terubong di Jalan Paya Terubong.

Beberapa buruh asing, yang berada di dalam kontena di atas bukit, terbunuh apabila tanah runtuh membawa struktur itu ke bawah cerun.

Jabatan Bomba dan Penyelamat masih lagi meneruskan operasi mencari dua lagi mangsa yang hilang.

Dalam satu sidang akhbar pagi tadi, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia cawangan Putrajaya, Morni Mamat berkata operasi mencari kini bertukar daripada menyelamat kepada operasi mencari mayat.

“Satu keajaiban jika mereka ditemui masih hidup,” katanya.

Selain empat mayat yang ditemui, tiga mangsa mengalami kecederaan. Mangsa cedera adalah dua wanita Indonesia, yang mana salah seorang daripada mereka hamil, dan seorang lelaki Bangladesh yang mengalami patah kaki. – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen