Operasi cari 3 lagi mangsa tanah runtuh di Pulau Pinang diteruskan


Looi Sue-Chern

Pasukan penyelamat menyambung usaha mencari mangsa tanah runtuh yang berlaku di Pulau Pinang semalam. – Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 20 Oktober, 2018.

ENAM mangsa kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang semalam dikenal pasti setakat ini.

Tiga maut dan tiga lagi cedera, kata Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia cawangan Putrajaya, Morni Mamat.

Mangsa yang maut ialah seorang lelaki Bangladesh berusia 35 tahun, seorang remaja Indoensia berusia 19 tahun dan seorang wanita Myanmar berusia 33 tahun.

Tiga mangsa yang cedera pula ialah dua wanita Indonesia, yang mana salah seorang daripada mereka sedang hamil dan seorang lelaki Bangladesh yang mengalami patah kaki.

“Tiga (yang lain) dipercayai masih tertimbus. Peluang mencari mereka yang hidup adalah nipis,” kata Morni dalam temu bual dengan media di luar lokasi bencana di Paya Terubong pagi ini.

Mereka yang hilang adalah dua warga Indonesia dan seorang Bangladesh.

Morni berkata pihaknya tidak boleh menganggarkan berapa lama pasukan penyelamat akan diambil untuk mencari mangsa yang tinggal tetapi menambah ia akan diteruskan.

Tanah runtuh berlaku sebelum jam 2 petang semalam di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Paya Terubong di Jalan Paya Terubong.

Beberapa buruh asing, yang berada di dalam kontena di atas bukit, terbunuh apabila tanah runtuh membawa struktur itu ke bawah cerun. – 20 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen