Matinya wartawan bukan matinya kebenaran


Zainal Rashid Ahmad

KEHILANGAN kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi mencetuskan drama terbaru dalam episod pembunuhan wartawan.

Jamal warga Arab Saudi yang menetap di Turki dan menulis untuk akhbar berpangkalan di Amerika Syarikat disyaki mati dibunuh pada 2 Oktober lalu.

Lebih menggemparkan, Jamal dilaporkan mati dipancung dalam bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul ketika hadir menguruskan permohonan perkahwinannya.

Dunia jadi gempar kerana Jamal, yang juga bekas ketua editor Al-Arab News Channel, terkenal kerana sering mengkritik Putera Mahkota Mohammad Bin Salman.

Senario ini menjadikan dunia percaya Arab Saudi mempunyai motif yang kuat untuk menghapuskan Jamal.

Peranan Jamal sebagai kolumnis akhbar berpengaruh berjaya mencemarkan nama baik Putera Mohammad. Jamal kerap mendedahkan pelbagai isu konspirasi politik dalam kalangan keluarga diraja Arab Saudi.

Jamal menyertai senarai 481 wartawan yang dibunuh di seluruh dunia sejak 2005. Angka yang menakutkan. Namun, kebanyakan wartawan dilaporkan maut di Amerika Selatan.

Wartawan yang nekad mendedahkan jenayah kartel dadah sering menjadi sasaran utama.

Manakala 195 wartawan dilaporkan mati secara tidak sengaja atau akibat kemalangan di zon peperangan.

Kalau benar Jamal mati dibunuh perisik Arab Saudi, jenayah ini tentunya amat memalukan. Dunia akan memandang remeh kedudukan keluarga diraja Arab Saudi yang sering menjajakan imej sebagai penjaga dua kota suci.

Jamal belum didendangkan sebagai wira. Dia masih subjek dalam pelbagai bentuk siasatan yang dijalankan kerajaan Turki.

Namun, bukti-bukti yang disebut dan disebar memperlihatkan adanya kecenderungan pembabitan Istana Arab Saudi.

Jamal menyertai nasib malang Fuad Muhammad Syafruddin, wartawan Indonesia yang ditemukan cedera parah dipukul pembunuh upahan pada 13 Ogos 1996 di Jakarta.

Fuad atau lebih akrab dipanggil Udin mati tiga hari kemudian dan kesnya kekal misteri. Tiada tangkapan dilakukan hingga ke hari ini.

Seperti Jamal, Udin wartawan berani. Bezanya, Udin menentang rejim Orde Baru Suharto di tanah airnya sendiri.

Misteri pembunuhan Udin dikaitkan dengan Suharto kerana wartawan itu sangat lantang menentang Orde Baru.

Kematian Udin dirakamkan dalam lagu legenda Iwan Fals dengan tajuk “Lagu Buat Penyaksi”.

Lagu ini dokumen seni bersejarah mengenai dunia gelap Orde Baru yang kerap menghapuskan musuh Suharto dengan menggunakan pembunuh misterius.

Cuma, pengaruh pop Iwan Fals menyebabkan Suharto tidak mungkin berani membunuhnya.

Iwan Fals menentang Suharto sejak 1981 melalui album solonya berjudul “Sarjana Muda”.

Sepanjang 24 tahun menentang Orde Baru, Iwan Fals melahirkan banyak lagu masterpiece anti Suharto. Antaranya, “Bento” dan “Bongkar” serta “Mbak Tini” yang yang dituduh bersikap sinis terhadap keluarga Suharto.

Selain itu, lagu “Tikus Kantor”, “Pesawat Tempur”, “Surat Buat Wakil Rakyat”, “Soldadu”, “Siang di Seberang Istana”, “Sarjana” dan “Orang Gila” antara puluhan karya Iwan Fals yang konsisten mengutuk Suharto.

Iwan Fals mengenang jasa-jasa Udin sebagai wartawan sejati walaupun mereka bukan kenalan.

Iwan Fals pada era muzik kritik politiknya tidak punya ramai sahabat. Sikap anti Orde Baru menjadikan Iwan Fals hanya dilingkungi seniman anti Suharto. Antaranya WS Rendra. Realitinya, seniman berani tidak mudah memiliki sahabat.

Saja saya kaitkan kematian Jamal dan Udin serta pembelaan Iwan Fals terhadap perjuangan wartawan. Matinya penyaksi, seperti kata Iwan Fals, bukan bererti matinya kesaksian.

Hakikatnya, selain Udin, serta matinya Jamal, bukan bererti matinya kesaksian. Dunia sedang bangkit menuntut kebenaran dan keadilan terhadap nasib Jamal.

Dari Presiden Donald Trump dan 22 anggota Senat Amerika Syarikat, sampailah ke pelbagai gerakan media massa, suara kemarahan dunia jelas membara. Isu Jamal perlukan pembongkaran.

Di Jakarta, dua bulan lalu, Iwan Fals terus bersuara mengenai ingatannya kepada Udin yang sudah genap 16 tahun mati dalam misteri.

Iwan Fals tidak mengalah mencari kebenaran untuk Udin sekali pun kes pembunuhan itu sudah lama berlalu.

“Saya dapat titipan dari kawan-kawan wartawan, kerana 16 Ogos lalu bererti genap16 tahun wartawan Udin dibunuh, tapi sampai sekarang belum terungkap,” kata Iwan Fals.

Penyanyi itu turut menyentuh pentingnya pilar demokrasi dilindungi. Sekali pun setelah Orde Baru rejim Suharto dijatuhkan pada 1998, Iwan Fals sampai sekarang kekal kritis. Lagunya “Manusia Separuh Dewa” tegar mengkritik presiden Indonesia.

Iwan Fals menyeru supaya wartawan diberikan kebebasan bersuara. Ancaman dan intimidasi terhadap wartawan adalah penghinaan besar terhadap rakyat jelata.

“Kalau wartawan ketakutan, yang rugi kita sendiri. Apresiasi untuk teman-teman wartawan yang terus berjuang supaya kes ini terus diungkap dan pelakunya ditangkap,” kata Iwan Fals.

Ketika Udin sudah mati, dan kita masih menanti kebenaran di sebalik misteri pembunuhan Jamal, hayati sejenak lirik lagu Iwan Fals:

Matinya seorang penyaksi

Bukan matinya kesaksian

Tercatat direlung jiwa

Menjadi bara membara

Duka cita terdalam

Hari ini kisahmu abadi

Berbaringlah kawan

Berbaringlah dengan tenang

Matinya seorang wartawan

Bukan matinya kebenaran

Tercatat dengan kata sakti. – 20 Oktober, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen