TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Wilfred Madius Tangau menyambut baik cadangan untuk membataskan dua penggal pentadbiran bagi jawatan perdana menteri, ketua menteri dan menteri besar.
Beliau berkata kerajaan telah menyaksikan pelbagai contoh penyalahgunaan kuasa apabila ahli politik memegang jawatan terlalu lama.
“Kami menyokong langkah itu. Kami melihat bahawa penyalahgunaan kuasa berlaku apabila ahli politik kekal berkuasa terlalu lama,” kata Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko) kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti hari ini.
Memberi reaksi mengenai laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), Tangau berkata Upko mengalu-alukan inisiatif untuk memperkasakan masyarakat etnik dari sudut perniagaan dan kemahiran.
Beliau berharap Putrajaya akan memantau program-program tersebut, dengan menyatakan kegagalan inisiatif serupa yang pernah dijalankan di bawah RMK8.
Beliau berkata terlalu banyak kebocoran pada masa lalu apabila inisiatif itu berada di bawah kawalan persekutuan, di samping menambah kemungkinan masanya telah tiba untuk negeri mengambil alih dalam pelaksanaan program itu.
“Kami mahu penelitian yang lebih akrab dan pelaksanaan yang baik. Kami juga mahu lebih banyak autonomi, demi memastikan bantuan-bantuan tersebut mencapai kumpulan sasaran. “
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, ketika membentangkan laporan kajian separuh penggal RMK11 di Parlimen semalam, mengumumkan inisiatif untuk memperkasakan kumpulan etnik. – 19 Oktober, 2018.
Komen