Jumlah mangsa kejadian tanah runtuh belum diketahui, kata bomba


Looi Sue-Chern

Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang hari ini. – Gambar Facebook, 19 Oktober, 2018.

PIHAK berkuasa masih mengenalpasti jumlah mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan jalan di Paya Terubong, Pulau Pinang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata seramai enam mangsa disahkan terlibat dalam kejadian itu berdasarkan maklumat saksi dan ahli keluarga.

Dua mayat ditemukan setakat ini manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan patah kaki.

Saadon berkata dua mangsa yang terbunuh dikenalpasti sebagai pekerja Bangladesh iaitu Attrul, 35, dan pekerja Indonesia, Samsul, 19.

Manakala identiti mangsa yang cedera masih belum dikenalpasti.

“Mangsa yang terbunuh ditemukan dalam jarak dekat di bawah kontena.

“Terdapat enam kontena di kawasan bukit yang jatuh akibat tanah runtuh. Keenam-enam kontena itu berada pada kedudukan agak tinggi. Kami difahamkan terdapat beberapa pondok kayu tetapi perkara ini belum dapat disahkan.

Mangsa yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Paya Terubong diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital. – Gambar Facebook, 19 Oktober, 2018.

Saadon berkata pihaknya mendapat maklumat bahawa tujuh lagi mangsa masih hilang.

“Namun maklumat ini masih belum dapat disahkan. Kita tidak dapat mengenalpasti kedudukan mereka apabila kejadian tanah runtuh ini berlaku.

“Kita akan menyampaikan maklumat dari masa ke semasa. Kita akan meneruskan operasi memandangkan masih ada mangsa yang hilang.

“Kita juga menunggu unit anjing pengesan dari Kuala Lumpur untuk membantu mencari mangsa atau mengesahkan tiada lagi mangsa yang tertimbus. Unit tersebut dalam perjalanan ke sini,” katanya.

Saadon berkata ketika tragedi itu berlaku, sejumlah pekerja berada di kantin tapak pembinaan dan mereka melihat kejadian itu.

Katanya operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan Pasukan Penyelamat dan Operasi Taktikal Khas Malaysia (STORM) dari Kedah dan Perlis, polis, hospital, Jabatan Pertahanan Awam dan beberapa lagi agensi kerajaan.
 
“Kita mempunyai kekuatan lebih 100 anggota.”  – 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen