Hujan lebat dipercayai antara punca tanah runtuh, kata Ketua Menteri


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengulas tentang kejadian tanah runtuh di Paya Terubong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2018.

TRAGEDI tanah runtuh di Paya Terubong yang mengorbankan tiga nyawa hari ini mungkin berpunca akibat cuaca hujan lebat baru-baru ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

“Saya percaya cuaca hujan lebat merupakan salah satu faktor,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian petang tadi.

Setakat ini, tiga mayat telah dikeluarkan dari lokasi kejadian dan dipercayai sembilan lagi mangsa masih hilang. 

Peristiwa terbaru ini telah menyebabkan masyarakat awam Pulau Pinang menyeru kerajaan negeri untuk menghentikan semua projek infrastruktur di lereng bukit.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Chow berkata sebarang kejadian buruk di tapak projek pembinaan adalah dikesali.

“Pendirian kami adalah semua pembinaan perlu dilakukan dalam keadaan yang lebih selamat,” katanya.

Chow juga menggesa kakitangan yang bekerja dalam operasi menyelamat untuk berhati-hati kerana hujan lebat di Pulau Pinang baru-baru ini telah menyebabkan lereng bukit menjadi tidak stabil.

Beliau berkata tidak ada sebarang kerja yang sedang dijalankan di tapak itu, di mana Jalan Paya Terubong Pair bernilai RM275 juta sedang dibina.

Kontraktor telah mengeluarkan perintah berhenti kerja minggu lalu selepas beberapa binaan runtuh di Jalan Tun Sardon. Pekerja yang mengendalikan kren sebelum ini dilaporkan tidak sengaja meruntuhkan palang binaan.

“Jarak kejadian pertama dan tanah runtuh adalah kira-kira 1km. Namun kontraktor menghentikan kerja binaan. Mereka tidak menyambung kerja hari ini,” kata Chow.

Beliau juga berkata kontraktor juga diarahkan untuk mengemukakan laporan mengenai palang binaan yang runtuh kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) petang tadi.

“Tetapi malangnya, tanah runtuh itu berlaku terlebih dahulu. Kami sedih mendengar tentang nyawa yang hilang,” katanya. – 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen