Tanah runtuh: NGO gesa kerajaan negeri henti semua projek di kawasan bukit


Looi Sue-Chern

Wakil NGO termasuk Meenakshi Raman (kanan, terlindung) bercakap kepada media susulan insiden kejadian tanah runtuh di Paya Terubong. Turut hadir Dr Lim Mah Hui (kiri) dan Dr Kam Suan Pheng (tengah). – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2018.

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri menghentikan semua projek pembinaan di kawasan bukit susulan satu lagi tragedi tanah runtuh di negeri itu.

Mereka turut meminta kerajaan negeri membatalkan mana-mana usul projek yang berkaitan.

Awal hari ini, kejadian tanah runtuh berlaku di tapak pembinaan jalan di Paya Terubong yang menyebabkan tiga pekerja terbunuh dan sembilan lagi masih hilang.

“Bila mereka (kerajaan negeri) akan belajar?” kata Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah Meenakshi Raman.

Katanya sudah banyak amaran diberikan terhadap projek di kawasan berbukit terutamanya sejak kejadian tanah runtuh pada Oktober tahun lalu di tapak pembinaan kondominium Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa.

Siasatan kejadian tahun lepas itu mendedahkan berlaku pemantauan dan penguatkuasaan yang lemah di tapak pembinaan, katanya.

“Kejadian ini menunjukkan kita tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa. Berapa ramai lagi nyawa yang akan hilang?”

Anggota bomba mengeluarkan mayat seorang mangsa kejadian tanah runtuh di Paya Terubong hari ini. – Gambar Facebook, 19 Oktober, 2018.

Meenakshi berkata projek sedemikian mengundang bencana terutamanya pada musim hujan dan pekerja tidak diberikan perlindungan keselamatan yang sewajarnya.

“Adakah pihak berkuasa masih tidur? Di mana mereka selepas meluluskan projek? Adakah mereka mengikuti garis panduan atau melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan?

“Kami berasa kecewa dan marah. Bagaimana mereka boleh membiarkan perkara ini berlaku? Hentikanlah semua projek di kawasan berbukit,” katanya.

Meenakshi turut menggesa kerajaan mengarahkan siasatan dilakukan terhadap kejadian yang berlaku hari ini. – 19 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen