SABAH kini mempunyai kuasa penuh dalam pemberian lesen kepada perusahaan industri sarang burung di negeri ini termasuk melibatkan industri kecil yang terlibat.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong berkata pihaknya sedang memuktamadkan perkara itu dengan Kementerian Pertanian dan Asas Tani.
Pemberian lesen itu meliputi perusahaan sarang burung, pembersihan bahan mentah, kilang pemprosesan dan eksport.
“Kini pengusaha sarang burung dan pemain industri mempunyai akses secara langsung untuk mengeksport ke pasaran luar negara seperti China yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk sarang burung,” katanya.
Sabah mensasarkan untuk mengeksport 100 tan sarang burung ke China setiap bulan.
Wong mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Program Taklimat Sarang Burung kepada Persatuan Sarang Burung Sabah di Hotel Pan Borneo, Putatan.
Wong berkata kerja-kerja kini sedang dilakukan untuk mempermudahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk memudahkan penternakan sarang burung selepas beliau mencetuskan idea untuk menubuhkan Lembaga Sarang Burung untuk mengawal selia dan mempromosikan industri itu.
“Kita mungkin menguatkuasakan undang-undang untuk mengekang kes kecurian sarang burung, mengawal selia industri dan memastikan perniagaan ini mesra alam sekitar,” katanya.
Komen