Siasat dakwaan Kayveas berhubung dana RM36 juta, gesa wakil MyPPP


Noel Achariam

Bekas presiden MyPPP Maglin D’Cruz (kiri) ketika mengadakan sidang media di Hotel Hyatt Kuala Lumpur hari ini bagi mengessa siasatan dijalankan terhadap M. Kayveas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Oktober, 2018.

SEKUMPULAN pemimpin MyPPP menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan M. Kayveas bahawa sejumlah wang RM36 juta diberikan kepada parti itu pada 2018.

Jurucakap MyPPP Loga Bala Mohan berkata, ahli parti dan orang awam mempunyai hak untuk mengetahui aliran tunai wang itu dan bagaimana ia digunakan.

“Kita mendesak beliau (Kayveas) untuk mendedahkan enam nama penerima dan jumlah yang mereka terima.

“Kami merupakan exco MyPPP tidak pernah melibat, mendengar atau menerima wang seperti yang didakwa oleh Kayveas, dan berapa jumlah yang diterimanya untuk membuat dakwaan itu,” kata Loga pada sidang media di Hotel Hyatt Kuala Lumpur hari ini.

Kayveas yang mendakwa beliau masih merupakan presiden parti, disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dipercayai dipindahkan ke partinya dari Umno.

Beliau dilaporkan memberi enam nama yang bertanggungjawab mengambil duit tersebut kepada SPRM.

Parti MyPPP berpecah kepada dua kumpulan susulan pertikaian pucuk kepimpinan yang masing-masing mahu mengawal parti tersebut.

– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2018.

Loga berkata mereka telah membuat sembilan laporan kepada polis dan SPRM.

“Kami mahu pihak berkuasa menyiasat sumber dana ini yang dipercayai dijadikan sebagai langkah terdesak Kayveas untuk mengalihkan kes siasatan SPRM ke atasnya.

Seorang lagi wakil MyPPP Simon Simon Sabapathy berkata beliau dihubungi pegawai SPRM semalam yang bertanyakan tentang beberapa dokumen.

Katanya mereka (SPRM) menyiasat sama ada dana itu dipindahkan dari Umno kepada MyPPP semasa di bawah pimpinan Kayveas.

“Saya memberitahu pegawai SPRM bahawa jika dokumen itu wujud, ia mungkin berada di ibu pejabat parti sama ada disimpan oleh pembantu peribadinya atau stor di Subang yang menempatkan barangan peribadi Kayveas sejak beliau disingkirkan.

Bekas timbalan menteri Maglin DCruz berkata beliau turut menerima panggilan daripada SPRM berhubung perkara yang sama.

“SPRM mahu mencari dokumen itu di stor berkenaan dan meminta bantuan kami.

“Kita akan memberikan nombor telefon penjaga stor itu kepada SPRM,” katanya.  – 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen