Tanah runtuh di Pulau Pinang, 2 mayat ditemukan


Looi Sue-Chern

Sekurang-kurangnya 10 orang dan empat kontena tertimbus dalam kejadian di tapak pembinaan jalan yang menghubungkan Paya Terubong dan Relau, Pulau Pinang hari ini. – Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 19 Oktober, 2018.

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat setakat ini menemukan dua mayat dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan jalan Paya Terubong.

Pegawai operasi jabatan bomba Mohd Tarmizi Md Jaafar berkata tiga mangsa tersebut merupakan pekerja asing yang bekerja di tapak pembinaan itu.

Katanya, seorang lagi pekerja asing berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan parah manakala sembilan lagi mangsa dipercayai masih hilang.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku kira-kira pukul 1.55 petang hari ini.

Lokasi kejadian itu berlaku di tapak pembinaan jalan alternatif sepanjang 5 kilometer yang menghubungkan Lebuh Thean Teik ke Jalan Bukit Jambul melalui Paya Terubong, melintasi Bukit Kukus. 

Pihak bomba menganggarkan luas kawasan yang terjejas ialah 0.9 hektar.

Projek itu dijalankan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP).

Kejadian itu berlaku ketika persatuan penduduk beberapa kawasan terlibat membantah projek pembinaan lebuh raya sejauh 19.5 kilometer yang merentasi kawasan bukit di Paya Terubong, Bukit Bendera dan Relau.

Terdahulu Exco Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memberitahu media dalam mesej WhatsApp bahawa tiga orang maut manakala 12 yang lain hilang dalam kejadian di Bukit Kukus itu.

Insiden ini berlaku hampir setahun selepas kejadian sama di sebuah kondominium pembinaan di Tanjung Bungah pada 21 Oktober yang mengrobankan nyawa 11 pekerja.– 19 Oktober, 2018.

Seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang, hari ini. – Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen