VETERAN DAP Lim Kit Siang memfailkan saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara Hanif Omar berikutan satu dakwaan dalam ucapannya bulan lepas bahawa DAP mahu memisahkan Malaysia menjadi dua bahagian selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Saman yang difailkan veteran DAP itu dijalankan pada hari Rabu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kata peguamnya, Ramkarpal Singh.
“Saman itu disampaikan kepada peguamcara Tun Hanif hari ini, perkara itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 November,” kata Ramkarpal.
Hanif dilaporkan membuat kenyataan kontroversi, menyebut nama Lim, ketika bercakap sebagai panelis semasa konvensyen di Universiti Teknologi Mara.
Kenyataannya dilaporkan akhbar Sinar Harian dalam artikel “Tun Hanif buat pendedahan DAP, PAS” pada 6 September.
Sinar Harian memetik Hanif, yang merupakan IGP dari tahun 1974 hingga 1994, mengatakan bahawa beliau memenjarakan Lim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada Mei 1969 kerana DAP mahu membahagi Semenanjung Malaysia menjadi dua bahagian selepas pilihan raya umum tahun itu, dengan pantai timur untuk Melayu dan pantai barat untuk orang Cina.
Berikutan laporan Sinar Harian, Lim, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, mencabar Hanif memberi penjelasan untuk menyokong dakwaannya.
“Saya (mahu) tahu di mana Hanif dapat sumber mengenai dakwaan yang tidak masuk akal ini. Saya berhak untuk memulakan prosiding undang-undang bagi melindungi diri dan reputasi saya jika Hanif tidak berbuat demikian,” kata Lim.
Apabila Lim ditahan di bawah ISA selepas rusuhan tahun 1969, Hanif belum lagi menjadi Ketua Polis Negara. Beliau hanya dilantik dan berkhidmat sebagai KPN ketika Lim ditahan kali kedua di bawah ISA semasa operasi Operasi Lalang pada tahun 1987. – 19 Oktober, 2018.
Komen