20 tahun berlalu, pesuruhjaya Suhakam masih dilarang masuk Sarawak


Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph diharamkan memasuki Sarawak sejak 1998 dan rayuan terhadap kerajaan negeri ditolak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membatalkan mesyuarat tahunan mereka di Sarawak minggu ini selepas seorang daripada pesuruhjaya mereka yang disenaraihitamkan selama 20 tahun dilarang masuk ke negeri ini.

Jerald Joseph diharamkan memasuki Sarawak sejak 1998 tetapi merasakan sebagai seorang pegawai awam dan kerajaan, pergerakannya tidak boleh dihalang.

“Ini adalah perjuangan berterusan selama bertahun-tahun. Saya berharap perkara itu akan berubah dengan kerajaan baru tetapi jelas semangat mengubah landskap Malaysia belum sampai lagi ke Sarawak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Joseph berkata larangan itu mungkin kerana beliau terlibat dalam kerja sama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dalam kempen Empangan Bakun, 20 tahun lalu.

Suhakam kini membawa perkara ini kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat.

“Kami tahu ini adalah kuasa kerajaan negeri Sarawak, jadi kami mendesak mereka untuk mengubah pendiriannya dan membenarkan pergerakan rakyat Malaysia ke negeri ini.

“Kami berharap Putrajaya juga akan menasihati dan bekerjasama dengan Sarawak mengenai perkara ini.”

Suhakam kini membawa perkara ini kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

Joseph berkata Suhakam menulis kepada pejabat ketua menteri sebulan lalu untuk meminta izin menghadiri mesyuarat itu.

“Mereka menjawab 10 hari lalu yang permintaan itu ditolak.”

Joseph berkata keputusan itu mengejutkannya kerana beliau dibenarkan masuk ke negeri ini dua tahun lalu untuk bermesyuarat.

“Apabila saya mula masuk sebagai pesuruhjaya pada 2016, Adenan Satem menjadi ketua menteri pada masa itu. Beliau menghormati peranan dan fungsi pesuruhjaya dan beliau membenarkan saya menghadiri mesyuarat di Sarawak,” katanya.

“Pada 2017, terdapat perubahan kerajaan di mana Abang Johari mengambil alih. Pada mulanya, mereka berkata tidak, tetapi selepas rayuan, mereka memberi saya visa empat hari untuk menghadiri mesyuarat itu.”

Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata mereka kecewa dengan sekatan perjalanan ke atas Joseph.

“Menghalang beliau memasuki Sarawak bagi menghadiri mesyuarat yang dijadualkan adalah menghalang kewajipan statutori Suhakam untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia di negeri ini,” katanya. – 20 Oktober, 2018.

Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata mereka kecewa dengan sekatan perjalanan ke atas Joseph. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen