MOHAMED Azmin Ali berikrar kepimpinan PKR Selangor akan terus bersama Anwar Ibrahim dalam meneruskan perjuangan reformasi.
Menteri hal ehwal ekonomi itu turut mengalu-alukan kepulangan ahli Parlimen Port Dickson yang baharu dipilih itu ke Dewan Rakyat dan mahu Anwar membantu mengukuhkan kerajaan.
“Saya selaku pengerusi PKR Selangor merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Anwar. Bantulah kami, bimbinglah kami, sayangilah kami dan insya-Allah, perpaduan ukhwah kami dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan putus, dulu kini dan selamanya,”
“Saya yakin Datuk Seri Anwar akan sama-sama bantu kukuhkan kerajaan,” katanya pada program Pidato Malaysia Baru di Shah Alam malam tadi.
Azmin sebelum ini diserang kem Rafizi Ramli yang mendakwa beliau tidak serius mahu Anwar menjadi perdana menteri, sebaliknya beliau sendiri ada niat mahu mengemudi PKR.
Beliau juga pernah dicabar pimpinan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Gombak bagi memberi laluan kepada Anwar sekiranya setia kepada bakal perdana menteri itu.
Dalam pada itu, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor berseloroh mahu balik menerajui negeri kalau mengenangkan beban berat jadi menteri di Putrajaya.
“Saya cemburu dengan menteri besar Selangor pelbagai kejayaan dikongsi. Sedangkan saya sampai Putrajaya, kantung sudah hampir kosong. Hutang cecah RM1trilion. Kadang-kadang saya rasa nak patah balik ke Selangor,” katanya.
Namun jelas Azmin, walaupun bukan mudah mentadbir Putrajaya yang hutangnya telah mencecah RM1 trilion, Pakatan Harapan komited memulihkan ekonomi negara, termasuk membela Melayu dan Bumiputera serta memperbetulkan institusi yang tercemar seperti Felda dan Tabung Haji. – 19 Oktober, 2018.
Komen