WALAUPUN Putrajaya berada pada landasan yang tepat dalam usaha mengekang defisit fiskal menerusi langkah rasionalisasi dan pemotongan kos, ahli ekonomi berkata kerjaan perlu berhati-hati dalam semakan emolument, pencen, serta perbelanjaan kesihatan dan keselamatan sosial.
Dalam Kajian Pertengahan Penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang dibentangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam, kerajaan menambah sasaran keseimbangan dianggarkan bernilai 0.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 kepada sasaran defisit lebih besar iaitu sebanyak 3%.
Semakan teliti fungsi dan peranan institusi dan agensi awam mustahak untuk meningkatkan kecekapannya, terutama dalam langkah pengurangan perbelanjaan, kata Ketua Pengarah Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie.
Pada 2007, emolument penjawat awam berjumlah RM32.6 bilion- 26.4% daripada jumlah perbelanjaan operasi (OE). Ia naik sebanyak 8.4% setahun kepada RM73.1 bilion atau 34.8% daripada jumlah keseluruhan OE pada 2016. Dalam Bajet 2018, ia dianggarkan meningkat kepada RM79.1 bilion atau 33.8% daripada jumlah OE.
Tetapi Lee berkata Putrajaya tidak boleh terlalu drastik dalam memotong dana inisiatif perkhidmatan awam seperti kesihatan dan pendidikan, pembangunan sosioekonomi, perumahan mampu milik, serta program sokongan pendapatan dan infrastruktur untuk isi rumah B40.
“Hakikatnya adalah jangkaan awam tentang perbelanjaan kerajaan dan perkhidmatan awam perlu diselaraskan dalam bajet yang terhad,” katanya.
“Ada bentuk tolak ansur yang tak dapat dielak, melebihi soal bajet ‘macam biasa’.”
Lee berkata kerajaan juga perlu mengeluarkan jadual pemulihan bajet yang baik supaya agensi kredit rating dan pelabur pasaran boleh merasa yakin. – 19 Oktober, 2018.
Komen