Reformasi dari jalanan sudah sampai ke Putrajaya, kata Anwar


Nabihah Hamid Noel Achariam

Jangan terlupa agenda reformasi kerana sudah asyik pegang kuasa, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2018.

AHLI PKR tidak boleh leka dengan kuasa sehingga lupa kepada agenda reformasi yang dua dekad lalu dilaungkan di jalan raya tetapi sekarang sudah sampai di Putrajaya, kata Anwar Ibrahim.

Bakal presiden PKR itu berkata beliau bimbang ada dalam kalangan mereka nanti akan terlupa agenda reformasi apabila sudah asyik memegang kuasa.

“Kita tidak boleh lupakan reformasi 20 tahun dahulu,” katanya menyampaikan pidato Malaysia Baru di Shah Alam, malam tadi.

“Sepatutnya kita lebih kental dan lebih hebat, semangat kita. Hal ini kerana agenda paling kuat yang dimulakan reformis PKR, sudah menjadi agenda utama negara,” katanya.

Beliau menyebut bagaimana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri – yang dulu mereka tentang atas nama perjuangan reformasi – sekarang bercakap mengenai agenda reformasi.

Anwar memberikan contoh ucapan Dr Mahathir membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat semalam.

“Kita yang menjerit, hadapi banyak derita dan penyeksaan, namun usaha kini sudah diterima rakyat dan menjadi agenda arus perdana. Reformasi bukan lagi agenda jalanan,” katanya.

Tegas Anwar, perjuangan reformasi tidak terhenti hanya kerana mereka PKR sudah menang pilihan raya dan jadi kerajaan dalam Pakatan Harapan.

Anwar minggu ini kembali ke Dewan Rakyat untuk kali kedua selepas keluar penjara.

Sabtu lalu, Anwar menang Pilihan Raya Kecil Port Dickson mengalahkan enam calon lain dengan majoriti 23,560 undi, memperbaiki majoriti 17,710 yang diraih bekas wakil rakyat kerusi itu, Danyal Balagopal Abdullah pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum PRU14, empat parti dalam PH sepakat menamakan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir.

Kedua-dua pemimpin yang pernah jadi seteru ketat politik 20 tahun lalu berkali-kali mengulangi kenyataan bahawa mereka komited pada pelan peralihan yang sudah dipersetujui itu.

Dalam pidatonya malam tadi, Anwar sekali lagi menyeru ahli PKR supaya tidak terperangkap dalam sentimen politik sempit sebaliknya melihat jauh demi kepentingan yang lebih besar.

“Dulu bila Dr Mahathir masuk (PH) ada yang marah. Tetapi kita perlu bijak. Saya bersedia kerja dengan Dr Mahathir kerana mahu selamatkan Malaysia,” katanya. – 19 Oktober, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen