HIMPUNAN solidariti terhadap Ahmad Zahid Hamidi malam tadi disertai lebih kurang 200 penyokong Umno termasuk yang datang dari luar Lembah Klang.
Himpunan yang diketuai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam itu bermula pukul 8 malam tadi dianjurkan sebgaai sokongan kepada Presiden Umno itu yang akan didakwa di mahkamah esok.
Penyokong mula hadir di Bangunan SPRM itu sejak jam 8 malam lagi.
Pengerusi sebuah NGO, Ehsan Penyayang daripada Johor, Faridah Mustafa,60, berkata, beliau bersama 14 ahli NGO tersebut telah bertolak dari Johor pada jam 5:30 petang.
“Kami belum lagi mendapat mana-mana tempat tinggal tetapi kemungkinan akan tinggal di sebuah inap desa.
“Kami hadir bukan hanya untuk bersolidariti kepada Ahmad Zahid tetapi untuk kedaulatan undang-undang Kerana kita adalah rakyat Malaysia,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight.
Beliau menjelaskan, akan bermalam di Kuala Lumpur untuk terus memberi sokongan kepada Ahmad Zahid esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8:00 pagi.
.jpg)
Bagi seorang lagi penyokong dari Melaka, Musa Junid, 59, beliau turut tidak berpuas hati dengan penahanan Presiden Umno itu.
“Beliau telah menggunakan duit daripada yayasan itu kerana pegawainya telah melakukan kesilapan.
“Beliau terlalu sibuk hingga tidak sedar, wang cek yang digunakan itu adalah daripada yayasan,” jelasnya yang telah sampai ke Putrajaya bersama ahli-ahli Umno Bahagian Masjid Tanah.
Seorang lagi ahli akar umbi Umno Perlis, Shamsian Yassin, beliau bersama 10 rakannya mula bertolak awal pagi selepas mendapat maklumat daripada Lokman Adam.
“Sekarang kita ada 10 orang ahli dan esok akan bertambah lagi 10 orang yang akan hadir ke mahkamah.
“Kami tiada masalah untuk mendapatkan tempat tinggal kerana telah diuruskan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga yang berada disini,” tambahnya.
Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Ibu Pejabat SPRM tepat jam 3:00 petang sebentar tadi sebelum ditahan 15 minit kemudian.
Beliau hadir keterangan buat kali keenam hari ini, selepas pertama kali disiasat pada Julai lalu.
Zahid akan dihadapkan ke mahkamah esok atas beberapa tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.
Beliau sebelum ini mempertahankan bahawa dana Yayasan Akal Budi tidak pernah diseleweng, sebaliknya siasatan pihak berkuasa ini timbul kerana ada salah faham akibat kesilapan pegawainya semasa membuat pembayaran kad kredit milik beliau dan isteri.
Katanya, masalah yang berbangkit daripada dana yayasan itu hanyalah kekeliruan. – 18 Oktober, 2018.
Komen