Kerajaan pimpinan Warisan tidak maklum isu utama Sabah, kata bekas KM


Jason Santos

Bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap kepimpinan baru Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2018.

WUJUD gambaran ketidakcekapan kerajaan yang diketuai Warisan berikutan pimpinan kerajaan menunjukkan sikap tidak maklum terhadap isu-isu utama negeri, kata bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee hari ini.

Beliau berkata terdapat juga jentera kerajaan yang lumpuh ekoran lebih daripada 2,800 ketua kampung dan pemimpin masyarakat dipecat sejak kerajaan baru mengambil alih selepas pilihan raya 9 Mei.

“Pada masa yang sama, pelantikan, seperti ahli majlis tempatan, mengambil masa terlalu lama, yang mengakibatkan pelan pembangunan tempatan dan perniagaan lain tidak mendapat kelulusan.

“Ini didorong oleh pertentangan yang sengit antara dan dalam parti pemerintah mengenai pelantikan ahli majlis, termasuk Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), ahli majlis kerajaan tempatan dan setiausaha politik.

“Kesan daripada itu adalah kehilangan keyakinan di kalangan rakyat terhadap pentadbiran negeri sebagai satu pasukan yang yang boleh diharap,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin-pemimpin DAP dan Upko dalam beberapa bulan kebelakangan, menyuarakan penentangan mereka terhadap pelantikan pemimpin akar umbi.

Yong berkata pentadbiran yang diketuai Warisan telah berlarutan melakukan kesilapan demi kesilapan yang lain, di samping tidak mempunyai agenda yang jelas bagi menggerakkan Sabah ke hadapan.

“Kerajaan seolah-olah tidak tahu bahawa ekonomi Sabah terancam akibat penurunan kejatuhan harga minyak sawit dan penurunan jumlah pelancong, dua sektor utama ekonomi negeri itu.

“Harga naik. Kontraktor tidak dibayar. Pinjaman bank semakin perlahan.

“Ini adalah perkara kritikal yang memerlukan campur tangan kerajaan yang segera,” katanya lagi.

Menurut Yong, kerajaan negeri juga tidak menepati janji untuk melantik golongan profesional untuk memimpin syarikat berkaitan kerajaan, sebaliknya menamakan ahli politik untuk mengetuai institusi tersebut. – 19 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen