UCAPAN Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 adalah baik bagi pembaharuan institusi dan dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, Profesor Politik Ekonomi Universiti Malaya Edmund Terence Gomez mempersoalkan mengapa masih ada keperluan untuk mempunyai dasar ekonomi Bumiputera di era Malaysia baru.
Semasa membentangkan laporan itu petang ini, Dr Mahathir bercakap mengenai pembinaan ekonomi masyarakat Bumiputera yang berdaya tahan, dan meningkatkan kebolehpasaran Bumiputera dalam pekerjaan berpendapatan tinggi, di samping meningkatkan kawalan berkesan Bumiputera dan pemilikan korporat yang mapan.
Gomez berkata bekas perdana menteri Najib Razak juga meneruskan dasar afirmatif Bumiputera untuk menyatukan sokongan Bumiputera kepada Barisan Nasional ketika beliau berkuasa.
Melangkaui garis perkauman
“Di Malaysia yang melangkaui perkauman, atau Malaysia Baharu, seseorang akan fikir apakah ekonomi Bumiputera ini perlu dikaji semula, dengan (perniagaan dan ekonomi) dipupuk melangkaui garis perkauman.
“Namun perdana menteri meletakkan perkata ini dalam ucaptamanya, ini membimbangkan, ia tidak akan memberi keyakinan kepada pelabur, malah di kalangan beberapa Bumiputera,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Gomez berkata sudah ada kehadiran Bumiputera yang terhad dalam rantaian bekalan global kerana kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan, walaupun dasar afirmatif kerajaan sebelum ini yang mahu membantu mereka.
“Program pembangunan peniaga, program pembekal global ...Ia tidak berfungsi.
“Jika pentadbiran masih menegaskan ekonomi Bumiputera ini, ia juga harus menunjukkan beberapa angka mengenai pemilikan ekuiti berdasarkan kaum.”.– 18 Oktober, 2018.
Komen