Bina jambatan ketiga perlu persetujuan Singapura, kata PM


Asila Jalil

Putrajaya memerlukan persetujuan dari Singapura jika mahu membina jambatan ketiga bagi menghubungkan kedua-dua negara menerusi Johor, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar AFP, 18 Oktober, 2018.

KERAJAAN masih memerlukan persetujuan dari Singapura jika mahu membina jambatan ketiga bagi menghubungkan kedua-dua negara menerusi Johor.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata Singapura mungkin tidak setuju dengan rancangan pembinaan jambatan itu.

“Ada pihak kata mereka tidak mahu ‘jambatan bengkok’. Mereka mahu jambatan ketiga. Jambatan ketiga ke Singapura… mereka perlu minta persetujuan Singapura.

“Dan saya fikir Singapura mungkin tidak akan beri persetujuan,” katanya kepada media di lobi Parlimen selepas membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Selasa, Menteri Besar Johor Osman Sapian berkata Dr Mahathir berminat dengan cadangan untuk meneruskan semula projek “jambatan bengkok”.

Projek itu diilhamkan oleh Dr Mahathir sebelum beliau bersara sebagai perdana menteri pada 2003 tetapi penggantinya Abdullah Ahmad Badawi, membatalkannya apabila mengambil alih jawatan.

Bagaimanapun Singapura tidak bersetuju dengan projek itu dan enggan merobohkan bahagiannya di tambak Johor, yang menyebabkan Dr Mahathir mengumumkan rancangannya untuk membina jambatan bengkok.

Dr Mahathir berkata pembinaan jambatan bengkok tidak melibatkan Singapura langsung dan boleh bina pada bila-bila masa. – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen