TUDUHAN kononnya pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) boros berbelanja tidak diterjemahkan dalam laporan pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), kata Najib Razak.
Pembentangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini juga menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan bersifat melabel, berbanding fakta sebenar, katanya.
Jelas Najib, beliau hairan kenapa pentadbirannya dulu dituduh boros sedangkan dalam laporan di Dewan Rakyat hari ini Putrajaya mengatakan hutang kerajaan telah berkurangan daripada 54% daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kepada 50% daripada KDNK.
“Maknanya macam mana kita boleh jadi kerajaan boros kalau hutang kita semakin menguncup. Defisit fiskal kita pun dah berkurangan dalam tempoh tersebut.
“Jadi ada beberapa aspek yang merupakan kenyataan yang bersifat ‘labelling’ tapi tidak disokong dengan data yang dimuatkan dalam buku yang dibentangkan oleh kerajaan,” kata Najib kepada pemberita di lobi Parlimen
Ahli Parlimen Pekan itu ditemui sejurus selepas pembentangan laporan pertengahan penggal RMK 11, hari ini.– 18 Oktober, 2018.
Najib berkata, laporan yang dibentangkan hari ini juga dilihat banyak menjurus kepada kesinambungan kerajaan BN yang dipimpinnya sebelum ini.
“Tidak ada begitu banyak perkara baru yang dimaksudkan dalam pembentangan tersebut.
“Banyak penegasan-penegasan telah dibuat oleh kerajaan BN, malah telah diakui beberapa perkembangan elonomi kita misal tahun 2017, pencapaian kita yang begitu baik,” kata Najib.
Beliau turut melihat pembentangan hari ini kurang memberikan perhatian kepada pengangkutan awam.
Beliau bagaimanapun mengalu-alukan penekanan pembiayaan politik seperti yang disebut Dr Mahathir, ketika pembentangannya.
“Kerajaan BN telah buat waktu saya mula-mula menjadi perdana menteri di bawah dasar transformasi nasional, tapi pada ketika itu pembangkang tidak setuju dengan cadangan tersebut.
“Kalau telah setuju dengan cadangan pembiayaan dana secara lebih telus, kita telah lama laksanakan, tapi sekarang ni sudah ada penegasan perdana menteri jadi saya mengalu-alukan ada kaedah pembiayaan dana politik yang lebih telus dan lebih adil,” kata Najib.
Najib turut menyindir kerajaan apabila mengatakan tiada janji-janji dalam manifesto pilihan raya mereka yang dimasukkan dalam laporan tersebut.
“Ada satu yang amat jelas, tak disebut janji-janji pilihanraya sama sekali, maknanya segala-gala aku janji pada rakyat itu tidak disebut langsung dalam pembentangan tersebut.
“Maknanya apa-apa yang telah dijanjikan itu pasti tidak akan ditunaikan, termasuk penghapusan tol, penurunan harga minyak, PTPTN dan sebagainya,” kata Najib lagi.– 18 Oktober, 2018.
Komen