Bertabahlah Zahid, kata Najib


Mohd Farhan Darwis Asila Jalil

Bekas perdana menteri Najib Razak mengharapkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga bekas timbalannya bersabar dengan pendakwaan yang dikenakan terhadapnya esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Oktober, 2018.

NAJIB Razak mengharapkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersabar dengan pendakwaan yang dikenakan terhadapnya.

Bekas presiden Umno itu berkata, beliau mengharapkan prinsip keadilan yang telus dapat dibuktikan sepanjang perjalanan kes yang dikenakan terhadap Zahid.

“Saya turut sedih dengan apa yang berlaku kepada Zahid. Saya harap beliau tabah hadapi dugaan dan saya juga mahu supaya prinsip ‘the rule of law’ dan sistem keadilan yang telus betul-betul dibuktikan sepanjang perjalanan kesnya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen, selepas pembentangan laporan pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Parlimen, hari ini.

Zahid dijadualkan dihadapkan ke mahkamah esok atas beberapa tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana sebuah yayasan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Agensi anti rasuah petang tadi menahan ahli Parlimen Bagan Datoh itu selepas beliau hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk diambil keterangan buat kali keenam.

Zahid ditahan jam 3.15 petang tadi setelah SPRM mendapat izin mendakwa dari Pejabat Peguam Negara.

“Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat (esok) jam 8 pagi untuk pertuduhan tersebut,” kata SPRM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

SPRM menyiasat Zahid berhubung dakwaan salah guna dana sebuah yayasan amal, Yayasan Akal Budi milik keluarga bekas timbalan perdana menteri itu, yang beliau adalah pengerusinya.

Zahid didakwa menyeleweng RM800,000 dari yayasan tersebut untuk membayar bil kad kreditnya dan isteri.

Minggu lepas, SPRM menyiasat bekas timbalan perdana menteri itu selama tiga hari berturut-turut. – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen